Ahad, 29 Mac 2015

Boleh berbalah tapi jangan sampai pecah!!




Oleh Shahbudin Husin 


Isu hudud yang timbul sekarang mencetuskan gelora yang sukar dijangka apa kesudahannya dalam Pakatan Rakyat, terutama melibatkan hubungan antara Pas dengan DAP. Walaupun PKR, sebuah lagi komponen dalam PR turut tidak bersetuju dengan hudud dan terbuka menyatakan tidak akan mengundi usul persendirian mengenainya di Parlimen, tetapi ia tidak merenggangkan hubungannya dengan Pas.

Yang nampak bermasalah hanya antara Pas dengan DAP saja. Selain DAP sudah menyatakan hilang kepercayaan terhadap Presiden Pas, Haji Hadi Awang, parti itu di Sarawak bertindak lebih ke depan dengan memutuskannya dengan Pas. Pas pula melalui beberapa pemimpinnya, turut membalas dengan agak keras tindakan DAP itu.

Ini memberi bayangan bahawa menjelang pilihanraya negeri Sarawak yang bakal berlangsung selewat-lewatnya tahun depan, PR negeri itu tidak lagi sekukuh sebelum ini untuk berhadapan dengan BN negeri pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem. Sudah tentu ini merupakan berita gembira bagi BN Sarawak.

Namun demikian, perbalahan antara Pas dengan DAP di peringkat Pusat tidak seharusnya dibiarkan terus berpanjangan, jauh sekali jika sampai membawa perpecahan. Mereka boleh berbalah, berbeza pendapat atau bersetuju untuk tidak bersetuju dalam beberapa perkara, tetapi hubungan sebagai rakan gabungan dalam PR haruslah dipertahankan.

Walaupun PKR sedang berusaha untuk menjadi orang tengah dan menjernihkan apa juga kekusutan yang timbul, khususnya berkaitan isu hudud, yang jauh lebih penting lagi ialah Pas dan DAP harus sama-sama menyejukkan kepala dan tidak saling tuduh-menuduh serta bersikap keras antara satu sama lain.

Pas dan DAP harus mengutamakan harapan rakyat yang ketika ini relatifnya tinggi terhadap PR untuk membawa perubahan, pembaharuan dan menyelamatkan masa depan negara ini. Rakyat secara umumnya, apabila melihat satu demi satu isu timbul seperti 1MDB, pembelian jet, pembaziran dan pengurusan negara yang lemah, semakin nipis harapan mereka kepada BN untuk terus mentadbir negara ini.

Terutama di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ini, kegusaran umum ialah jika BN terus diberikan kuasa ia mungkin akan menyebabkan lebih banyak isu melibatkan pembaziran, kemewahan dan penyalahgunaan kuasa akan muncul lagi selepas ini.

Sebab itu, harapan rakyat kepada PR sebenarnya adalah tinggi. Tetapi perbalahan terbuka sesama rakan gabungan dalam PR sedikit-sebanyak juga menghampakan harapan rakyat. Mereka inginkan perubahan tetapi PR yang disandarkan harapan itu pula seperti berkecamuk dan sering berbalah sesama sendiri.

Dalam hubungan ini PR seharusnya menyedari harapan tinggi yang ada di hati rakyat itu. Pas dan DAP terutamanya, dalam mereka ghairah mempertahankan prinsip serta memperjuangkan kepentingan masing-masing, keinginan mempertahankan kedudukan PR sebagai pesaing kepada BN mestilah diutamakan.

Tidak salah berbeza pendapat, waima berbalah sekali pun tetapi ia tidak harus sampai kepada perpecahan. Apa yang berlaku di Sarawak diharapkan tidak merebak ke negeri atau peringkat yang lain.

Selain itu, tindakan saling mencabar keluar PR antara Pas dan DAP haruslah juga dihentikan. Mereka haruslah menyelesaikan perbezaan dengan perbincangan dan mencari titik persamaan seboleh yang mungkin dan bukannya dengan cuba menjarakkan lagi hubungan sesama sendiri.

Walapun sehingga ini, baik Pas mahupun DAP masih mahu bertahan dalam PR tetapi usaha mengukuhkan lagi peranan masing-masing dalam PR mestilah bukan saja sentiasa tertanam dalam hati, bahkan juga mesti dizahirkan melalui perbuatan.

Pas dan DAP tidak harus menjadi entiti yang mengecewakan harapan rakyat. Dengan banyak isu yang melanda negara, pimpinan kerajaan masih leka dan tidak mahu berubah memperbaiki nilai kepimpinan mereka, ditambah pula merengkoknya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam penjara yang boleh meningkatkan lagi simpati rakyat, kelebihan memang sedang bersama-sama PR.

Kelebihan juga kepada PR ialah melalui tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang terus mengkritik dan tidak bersetuju dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ditakrifnya lemah dan membawa lebih banyak kemudaratan kepada rakyat.

PR mesti melihat semua kelebihan ini dengan rasional dan tidak emosional. Tiada gunanya terus berbalah sehingga pecah tetapi akhirnya mengecewakan harapan rakyat. Adalah lebih penting ruang perbincangan dan kesepakatan atas nama mengutamakan kepentingan rakyat sentiasa didahulukan berbanding semua perkara lain yang ingin diperjuangkan.

Rakyat sudah menunjukkan keinginan dan iltizam ke arah perubahan melalui sokongan undi popular dalam pilihanraya umum lalu. Jika harapan itu dikecewakan sedangkan keinginan mereka terus membara sekarang ini, PR akan menghadapi kesukaran meraih kepercayaan rakyat di masa akan datang.

Sejauh mana mahu berbeza dan berbalah sekali pun, berpecah mesti dijauhkan kerana ia akan menghancur-leburkan sama sekali harapan rakyat. Siapa lagi, kalau bukan rakyat yang perlu diutamakan?

Tiada ulasan: