MALAYSIAKINI
Pakar sejarah profesor emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim memberitahu
Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini bahawa ketika serangan komunis di
Bukit Kepong, polis berkhidmat untuk Raja-raja dan bukannya di bawah
British.
Khoo, yang merupakan pakar sejarah Malaysia, berkata walaupun
pentadbiran Tanah Melayu di bawah British ketika serangan pada tahun
1950 itu, tetapi pemerintahan adalah di bawah Raja-raja.
Beliau berkata pihak British telah menandatangani perjanjian dengan
Raja-raja bahawa Tanah Melayu hanya dinaungi British, bukan dijajah dan
pemerintahan itu masih kekal kepada Raja.
"Sejarah merupakan sesuatu yang dapat diuji dan kesimpulan sejarah mestilah tepat.
"Ahli-ahli sejarah tidak dibenar membuat penghakiman dari sudut moral,"
katanya ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad
Tarmizi pada perbicaraan kes Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang
didakwa memfitnah anggota keselamatan Bukit Kepong dalam ceramah di
Tasek Gelugor pada Ogos 2011.
Khoo (kiri) berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Mohamad Sabu.
Khoo berkata tidak dinafikan dan secara praktik bahawa polis pada ketika
itu di bawah pentadbiran British tetapi Raja-raja masih mempunyai kuasa
mutlak.
Meor Sulaiman kemudian menetapkan 27 April untuk serahan nota bertulis dan membenarkan jaminan tertuduh dilanjutkan.
Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Datuk Razali Che Ani dan Yusaini Amir Abdul Karim.
Mohamad, yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, 59, didakwa memfitnah
anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam
serangan pengganas komunis di balai polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Feb
1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan
Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah PAS Padang Menora, Tasek
Gelugor pada 21 Ogos 2011.
Tertuduh juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota
polis iaitu konstabel marin Abu Bakar Daud, konstabel Jaafar Hassan dan
Yusoff Rono serta anggota keluarga mereka pada masa, tarikh dan tempat
yang sama.
Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit
kesalahan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan