Isnin, 30 Mac 2015

Azmin kutuk serbuan polis di pejabat PKR

MALAYSIAKINI


 


Timbalan presiden PKR Azmin Ali mengutuk serbuan polis ke atas ibu pejabat parti itu semalam dan juga penahanan setiausaha agungnya Rafizi Ramli.

Katanya, ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu bertanggungjawab ke atas tindakan “kejam” seperti itu.

"Ia tindakan tidak mengikut perlembagaan dan satu penyalahgunaan kuasa dan merupakan serangan ke atas pembangkang secara umum.

"Kami menuntut polis menghentikan serta-merta gangguan dan tindakan angkuh ini," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau, yang juga MB Selangor, berkata ramai individu yang ditahan polis dalam operasi ke atas perhimpunan Kita Lawan merupakan para wakil rakyat.

"Mereka terikat dengan sumpah jawatan mereka sebagai wakil rakyat untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Bukan sahaja 'Kita Lawan' satu bentuk protes yang dibenarkan mengikut perlembagaan tetapi usaha untuk menyekat aktiviti seperti ini juga berniat untuk menghalang para pemimpin ini daripada menjalankan tugas mereka.

"Ini samalah seperti menghina hak perlembagaan dan kebebasan rakyat dan menjejaskan kedaulatan undang-undang," katanya.

Dalam nada sama, ketua Angkatan Muda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata polis juga tidak perlu membawa Rafizi ke pejabat parti itu dan juga merampas peralatan pejabat.

"Kami kesal dalam isu-isu melibatkan masyarakat sivil dan parti-parti lawan Umno-BN polis mengambil pendekatan yang keterlaluan," katanya.

Beliau melihat bahawa tangkapan seperti itu hanya bertujuan untuk menakut-nakutkan masyarakat.

"Namun sebagaimana dilihat akhir-akhir ini, tangkapan demi tangkapan hanya menyemarakkan lagi semangat rakyat khususnya anak muda untuk melawan kezaliman dan menuntut keadilan,” katanya.


Tiada ulasan: