Selasa, 31 Mac 2015

Penahanan di bawah Akta Hasutan satu kesilapan

 
Penahanan itu juga akan memberi persepsi yang buruk kepada kerajaan kerana kesalahan yang dilakukan itu bukannya tertakluk di bawah Akta Hasutan.


jazlan



KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen BN-Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed berpendapat penahanan lima orang pengarang portal The Malaysian Insider (TMI) dan The Edge di bawah Akta Hasutan berhubung laporan mengenai hudud baru-baru ini adalah satu kesilapan.

Katanya, penahanan itu juga akan memberi persepsi yang buruk terhadap kerajaan kerana kesalahan yang dilakukan itu bukannya tertakluk di bawah Akta Hasutan.

“Pada pandangan saya, kesalahan yang dilakukan bukannya di bawah Akta Hasutan. Jika penulisan itu menghasut orang buat sesuatu perkara yang salah, maka baru diletakkan di bawah Akta Hasutan. Bagi pandangan saya, ia hanya kesalahan biasa.

“Kesalahan yang dilakukan Malaysian Insider ini boleh dikenakan saman oleh Majlis Raja-Raja. Polis juga boleh sekadar menelefon mendapatkan kepastian mengenai laporan yang dibuat oleh TMI,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau turut mempersoalkan jikalau pengarang TMI itu salah dan sekiranya ya, kerajaan wajar mengambil tindakan.

“Jika tidak, ia akan memberikan imej yang negatif kepada kerajaan Tangkap semata-mata kerana kesalahan penulisan tidak sepatutunya berlaku,” katanya.

Hari ini polis menahan Penerbit The Edge, Ho Kay Tat dan Ketua Eksekutif The Malaysian Insider (TMI), Jahabar Sadiq kerana didakwa menghasut berhubung laporan di portal berita itu berkenaan Hudud.

Petang semalam, polis menahan tiga editor kanan TMI, iaitu Pengarang Urusan Lionel Morais, Pengarang Berita Bahasa, Amin Shah Iskandar dan Pengarang Analisis dan Rencana, Zulkifli Sulong di pejabat mereka di Petaling Jaya.

Tiada ulasan: