Rabu, 18 Mac 2015

Kelantan bentang pindaan enakmen hudud hari ini

 OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


 Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob (kanan) dan timbalannya Datuk Mohd Amar Abdullah di sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan, pagi ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 18 Mac, 2015. Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob (kanan) dan timbalannya Datuk Mohd Amar Abdullah di sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan, pagi ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.




























Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini selepas ia ditangguhkan kerajaan negeri pada hujung Disember lalu ekoran banjir besar yang melanda negeri pantai timur itu.

Seramai 45 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan akan mendengar pindaan enakmen itu dan seterusnya membuat undian sama ada menolak atau menyokong enakmen berkenaan bagi membolehkan kerajaan negeri Kelantan memulakan langkah seterusnya bagi melaksanakan hukum hudud di negeri itu.

Kerajaan negeri Kelantan dilihat berdepan laluan mudah untuk meluluskan pindaan enakmen berkenaan berikutan 32 daripada 45 Adun adalah daripada PAS manakala 12 lagi Umno dan seorang lagi PKR.
Adun Guchil Roslan Puteh daripada PKR sehingga petang semalam dilihat masih merahsiakan pendiriannya sama ada menyokong, menolak atau berkecuali terhadap pindaan enakmen berkenan yang akan dibentangkan hari ini.

Ketika ditanya The Malaysian Insider adakan pimpinan pusat PKR sudah menyatakan pendirian untuk pindaan enakmen berkenaan, Roslan berkata:“Belum, kena tunggu esok juga.”

Pendirian Roslan pada hari ini sama ada menolak atau menyokong pindaan enakmen hudud menggambarkan pendirian PKR sama ada ia akan mendapat sokongan parti itu jika enakmen berkenaan dibawa ke peringkat seterusnya iaitu rang undang-undang persendirian hudud ke Parlimen.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata kepada pemberita semalam, Roslan tidak dihalang sekiranya mahu mengundi pindaan enakmen hudud kerana tidak ada arahan daripada pimpinan pusat yang menghalangnya berbuat demikian.

Katanya, terpulang kepada Roslan untuk hadir dan terlibat dalam perbahasan yang akan berlangsung di DUN hari ini.

"Tidak ada (arahan). Dia akan hadir. Ini kebebasan seorang ahli (Dewan) untuk mengundi dan berbahas," katanya.

Ketegasan kerajaan negeri Kelantan dalam meneruskan pindaan enakmen hudud menimbulkan keretakan hubungan dalam Pakatan Rakyat (PR).

DAP secara lantang dan terbuka membantah hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk meneruskan agenda hudud di negeri itu kerana ia tidak pernah berada dalam kerangka bersama PR.

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata pada Isnin, PAS tidak ada jalan untuk melaksanakan hudud sama ada di Kelantan mahu pun di Malaysia kerana ia hanya akan mengakhiri hubungan PR.

“DAP tidak akan tunduk kepada ancaman Tuan Ibrahim atau sesiapa terutama dalam isu yang membabitkan prinsip seperti pendirian kami mengenai pelaksanaan hudud,” kata pengerusi biro guaman DAP itu merujuk kepada Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Gobind mengulas kenyataan Tuan Ibrahim yang menggesa DAP dan PKR bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan PAS selama ini di Kelantan jika tidak mahu melihat PR berpecah.

Katanya, tiada sebab DAP dan PKR menolak pelaksanaan hudud kerana PAS Kelantan sudah mengambil beberapa langkah yang sewajarnya sebelum ia diteruskan.

“Untuk elak PR pecah, elok kalau DAP dan PKR menyatakan persetujuan terhadap enakmen Jenayah Syariah Kelantan kerana ia adalah hak bagi orang Islam dan tiada kena mengena dengan masyarakat bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Pindaan enakmen itu juga dilihat kurang bersesuaian apabila PAS kini masih dalam proses pasca banjir dan masih ramai yang terabai akibat bencana besar itu.

Berdasarkan tinjauan  Merdeka Center, majoriti pengundi Melayu di Semenanjung Malaysia mahu kerajaan negeri Kelantan memfokuskan kepada usaha pemulihan dan pembinaan semula rumah mangsa banjir daripada pelaksanaan pindaan enakmen kanun jenayah hudud.

Dalam tinjauan yang dilakukan terhadap 1,008 pengundi, 84% daripadanya bersetuju usaha pemulihan pasca banjir perlu diutamakan Kelantan pimpinan PAS dan pandangan sama turut disuarakan sejumlah majoriti besar (81%) pengundi Melayu Islam seluruh Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, kerajaan PAS Kelantan tetap akan meneruskan pembentangan hudud walaupun kajian terbaru menunjukkan majoriti masyarakat Melayu lebih mementingkan isu pemulihan banjir berbanding undang-undang syariah Islam itu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilihat enggan menghiraukan kajian yang dijalankan Merdeka Center, sambil menegaskan pelaksanaan undang-undang hudud sejak awal lagi menjadi matlamat parti Islam tersebut.

Katanya, isu bantuan banjir bukan isu berbangkit seperti dalam kajian Merdeka Center, malah kerajaan Kelantan sudah memberi banyak bantuan kepada mangsa khususnya dalam usaha membaik pulih rumah dan memberikan bantuan kewangan.

"Ia isu berlainan sebab hudud ini sejak 1993 lagi dan bukan perkara baru. Banjir ini baru saja berlaku," kata Nik Amar kepada The Malaysian Insider.

Tiada ulasan: