Rabu, 18 Mac 2015

Semakan kehakiman pohon Anwar ke Parlimen

 
Kita memohon memfailkan semakan kehakiman ini didengar dengan kadar segera kerana parlimen kini sedang bersidang dan beliau perlu dibawa ke parlimen.


anwar ibrahim_pkr


KUALA LUMPUR : PKR hari ini memfailkan semakan kehakiman bagi membolehkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sesi Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen ke-13.

Peguam Anwar, N. Surendran berkata, semakan kehakiman itu dibuat selepas Pengarah Penjara dan Menteri Dalam Negeri menolak permohonan Anwar hadir ke Parlimen melalui satu surat pada 4 Mac 2014.

“Kami pohon supaya semakan kehakiman ini didengar pada kadar segera kerana Parlimen sedang bersidang dan beliau perlu dibawa ke Parlimen secepat mungkin.

“Permohonan ini merupakan satu peristiwa yang bersejarah kerana dilakukan buat kali pertama di Malaysia, hanya kerana Ketua Pembangkang dihalang menghadiri persidangan Parlimen,” katanya kepada pemberita di lobi Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Surendran yang merupakan Ahli Parlimen Padang Serai menambah, Jabatan Penjara juga tidak pernah memberikan sebarang sebab Anwar tidak dibenarkan menghadiri Parlimen sedangkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengesahkan Anwar masih lagi menjawat jawatan sebagai Ketua Pembangkang.

“Tindakan Ahli Parlimen daripada BN juga amat mengecewakan apabila duduk diam dan tidak membangkitkan perkara tersebut demi memastikan kewibawaan perjalanan Parlimen berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, larangan Anwar hadir ke Parlimen merupakan satu percubaan melenyapkan suara pembangkang di dalam Dewan Rakyat.

Katanya lagi, pihaknya akan menggandakan usaha bagi mengembalikan hak Ketua Pembangkang di negara ini.

“(Datuk Seri) Najib (Tun Razak) tidak boleh lari kerana kita tahu ini perancangan besar bagi melenyapkan suara pembangkang berkaitan penolakan skandal utama dalam negara,” katanya.

Pada 9 Mac yang lalu, Jabatan Penjara menolak permohonan bagi membolehkan Anwar menghadiri sesi Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen ke-13.

Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, ia diputuskan selepas pertimbangan dibuat dan berdasarkan Seksyen 31(1)(a) Akta Penjara 1995.

“Saya dengan ini mengesahkan, surat penolakan telah dihantar kepada pemohon, pada Rabu, 4 Mac 2015,” katanya

Tiada ulasan: