MALAYSIAKINI
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin
Osman diminta mengemukakan butiran terperinci 34 projek yang telah
diluluskan di bawah Tabung Penyelenggaran 1Malaysia (TP1M) sejak 2012.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perancangan Bandar Negeri Jagdeep
Singh Deo berkata butiran itu perlu dikemukakan kerana jumlah itu tidak
sama dengan jumlah direkodkan Pesuruhjaya Bangunan di bawah Majlis
Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai
(MPSP).
"Terdapat dua projek diluluskan pada 2013 dan 13 projek pada 2014 dengan
kos dari RM96,100 hingga RM1.9 juta yang turut melibatkan sumbangan
kerajaan negeri antara 10 dan 30 peratus," katanya pemberita selepas
majlis pelancaran Pameran Hartanah Malaysia yang disempurnakan oleh
Ketua Menteri Lim Guan Eng di George Town hari ini.
Katanya menurut rekod MPPP dan MPSP, juga terdapat 129 projek tidak
diluluskan dalam tempoh berkenaan dan meminta Zainal Abidin menjelaskan
perkara itu.
Beliau berkata pihaknya menerusi MPPP dan MPSP pernah menulis surat
kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri bagi
meminta perkembangan permohonan pelbagai projek yang dibuat di Pulau
Pinang menerusi TP1M pada Februari tahun lepas.
"Dalam surat berkenaan saya juga merayu supaya permohonan tertangguh
yang masih belum diluluskan supaya diluluskan dengan cepat tanpa
sebarang kelewatan lagi kerana ia melibatkan projek kritikal," katanya.
Jagdeep berkata bagaimanapun kerajaan negeri tidak pernah dimaklumkan
mengenainya walaupun beberapa surat permohonan susulan telah dibuat
beberapa kali dengan yang terbaru pada 16 Jan lepas.
Zainal Abidin dalam kenyataan akhbar pada 16 Februari lepas berkata
sebanyak 16 projek diluluskan di bawah TP1M pada 2012, 2013 (lima) dan
13 projek pada 2014 melibatkan peruntukan sebanyak RM10.23 juta. Bernama
No comments:
Post a Comment