MALAYSIAKINI
Demi hasrat membuat kerja amal dan minat mengembara, dua beradik dan
seorang rakan mereka bertekad ingin mencipta rekod berjalan kaki ke
seluruh negara dengan niat untuk membersih masjid-masjid terpilih
sepanjang perjalanan mereka itu.
Setelah 28 hari mengembara berjalan kaki yang bermula dari Shah Alam,
Selangor hingga ke sini, Anas Aiman Jaffry, 27, adiknya Muhammad Aidil,
24, dan rakan mereka Hizamuddin Aliddin, 25, telahpun mengunjungi serta
membersih 19 buah masjid.
Mengikut perancangan, dalam tempoh enam bulan pengembaraan, sebanyak 132
masjid di seluruh negara akan mereka kunjungi bagi tujuan itu.
"Kami berhajat mencipta rekod melalui Kembara Berjalan Kaki 1Semenanjung
Malaysia Membersihkan Masjid yang dijangka mengambil masa enam bulan.
"Pengembaraan kami ini berlainan kerana dalam tempoh itu kami akan
membersihkan masjid secara sukarela kerana misi kami ini ingin
memberitahu masyarakat, masjid adalah milik kita semua kerana ia adalah
rumah Allah SWT," kata Anas Aiman kepada pemberita setibanya mereka di
pekan Parit Bakar di Muar.
Berasal dari Sabak Bernam, Selangor, mereka yang sebelum ini bekerja
masing-masing sebagai penyelia stor dan pengawal keselamatan, sanggup
meletak jawatan demi untuk merealisasikan hasrat itu.
"Alhamdulillah hasrat kami untuk mengembara sambil membersih masjid
mendapat sokongan semua pihak termasuk keluarga dan bekas majikan. Bekas
majikan kami pun bersedia untuk menerima kami semula selepas ini,"
katanya.
Anas Aiman berkata mereka memulakan kembara sejak 24 Jan lalu dan telah
mengunjungi 19 masjid di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
Selepas ini ketiga-tiga pemuda itu akan memasuki Batu Pahat dan Mersing
selain ke Pahang, Terengganu, Kelantan sehingga ke negeri di Pantai
Barat Semenanjung sebelum mengakhirinya di Shah Alam semula.
Ketika ditanya cabaran yang perlu ditempuhi, beliau menjawab:
"mengembara dalam keadaan cuaca yang panas dan menempuh hujan", namun
keadaan itu diharapkan tidak menjejaskan semangat mereka untuk
menghabiskan kembara murni itu.
Anas Aiman berkata apabila tiba di masjid terpilih itu, mereka akan
melakukan kerja-kerja amal bermula pukul 8 pagi sehingga waktu Zohor
antaranya mencuci tandas, menyapu sampah, membersih halaman dan mengecat
bergantung kepada keperluan masjid tersebut.
Menurutnya antara keperluan yang dibawa adalah khemah selain bekalan
ubat dan air mencukupi yang dimuatkan ke dalam sebuah troli kecil bagi
memastikan kembara itu lancar.
Beliau berkata sekiranya tidak berjaya menamatkan kembara tersebut pada
akhir Jun ini, mereka akan tetap meneruskannya sehingga selesai termasuk
bersedia berpuasa dan berhari raya di atas jalan raya.
Katanya mereka bersyukur kerana sepanjang kembara itu, mereka mendapat
sambutan baik daripada masyarakat dan kariah masjid dikunjungi dengan
menghulurkan makanan serta wang.Bernama
No comments:
Post a Comment