KEMAMAN: Orang ramai diminta tidak terpengaruh dengan kempen menerusi
media sosial yang bertujuan mencemarkan sistem perundangan negara demi
kepentingan politik individu tertentu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
berkata, kempen itu jelas mencabar sistem perundangan dan kehakiman di
negara ini.
Beliau berkata, kempen itu diadakan semata-mata mahu mengheret rakyat
untuk menyertai perhimpunan 'March to Freedom' bulan depan bagi mendesak
kerajaan membebaskan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya kesal dengan perbuatan pihak yang menganjurkan kempen itu, dengan
menjadikan media sosial sebagai medan menarik orang ramai.
"Sebarang usaha yang dilakukan bagi membebaskan seseorang yang
dijatuhkan hukuman bersalah oleh sesebuah mahkamah di negara ini,
dianggap boleh mencemarkan sistem kehakiman," katanya hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program
pembahagian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 1,500 penerima Dewan
Undangan Negeri (DUN) Cukai di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman
di sini.
Kempen itu dilancarkan Nurul Nuha, anak kedua Anwar, selepas Mahkamah
Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun
terhadapnya pada 10 Februari lepas.
Ahmad Shabery turut mempertikaikan Majlis Peguam yang dilihat mempersoalkan keputusan Mahkamah Persekutuan.
Sebelum ini, presiden badan berkenaan Christopher Leong dipetik media
tempatan sebagai berkata Anwar 'dianiaya, bukan didakwa' selepas
Mahkamah Persekutuan membuat penghakimannya.
No comments:
Post a Comment