Monday, February 2, 2015

Gabungan Impian Kelantan inisiatif kemanusiaan, melangkau politik

ik4

Roketkini.com


KOTA BHARU: Hikmah banjir Pantai Timur Semenanjung telah membina semula perpaduan rakyat Malaysia.

“Masalah rakyat Kelantan adalah masalah kita semua,” kata Pengarah Misi Bantuan Bencana DAP Anthony Loke yang berkongsi pengalaman menguruskan misi menyelamat dan membantu mangsa bencana banjir.

Beliau berkata demikian sewaktu majlis pelancaran Gabungan Impian Kelantan di sini malam semalam yang dihadiri rakyat Kelantan pelbagai kaum.

Menurutnya, DAP serta rangkaian NGO dan sukarelawan yang terlibat dalam usaha membantu serta memulihkan semula keadaan tidak mempunyai sebarang agenda politik.

“Impian Kelantan tidak menggunakan logo roket yang menjadi lambang parti DAP, kerana inisiatif tersebut digerakkan bersama-sama rakyat Malaysia, menjangkaui parti politik,” tambah beliau.
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa pula menjelaskan bahawa pihak kerajaan negeri Kelantan tidak mempunyai sebarang masalah dengan Gabungan Impian Kelantan.

Menurutnya, pihak kerajaan negeri Kelantan telah meraikan rombongan Gabungan Impian Kelantan bersama dengan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang serta tetamu Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan bekas Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan dalam satu majlis makan malam di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan.

Walaupun Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob tidak dapat hadir, beberapa Exco Kerajaan Negeri telah sudi makan malam bersama dengan pimpinan Gabungan Impian Kelantan tersebut yang dianjurkan sebelum majlis pelancaran tersebut.

“Itu tandanya restu kerajaan negeri kepada Gabungan Impian Kelantan,” tambah Husam yang juga gigih berusaha dalam usaha membantu mangsa banjir sejak akhir tahun lalu.

Impian Kelantan mengambil semangat Impian Malaysia yang berkongsi usaha dan bergerak bersama rakyat melalui kegiatan membantu rakyat miskin, menolong mangsa bencana, membina projek prasarana di pedalaman, mengusahakan program pendidikan dan mengambil bahagian dalam inisiatif mengupayakan anak muda.

Ia adalah usaha meneruskan semangat sukarelawan rakyat pelbagai kaum dan agama yang telah menghulur bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri tersebut baru-baru ini.

Wakil-wakil yang mewakili DAP bagi jawatankuasa Gabungan Impian Kelantan adalah Anthony Loke yang juga Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Naib Pengerusi DAP Teresa Kok, Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong, Vincent Wu dan Syefura Othman.

Gabungan tersebut juga telah mencadangkan agar Ambiga serta Pak Samad menjadi jurucakap bagi mereka dalam usaha menarik lebih ramai rakyat Malaysia menghulur bantuan, khususnya dari segi derma kewangan.

Turut hadir di majlis malam semalam adalah bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang lebih dikenali dengan nama Cikgu Rahim yang menjadi salah seorang penggerak utama membantu mangsa banjir negeri itu serta wakil-wakil NGO dari seluruh negara yang menjayakan usaha tersebut. – Roketkini.com

No comments: