MALAYSIAKINI
Insiden kain rentang (tifo) anjing mengaibkan Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) pada perlawanan Piala Sumbangsih 2015 semalam
melambangkan sikap “tiada adab” segelintir penyokong, kata FAM.
"Apa yang berlaku di stadium semalam adalah sikap segelintir penyokong
yang tiada sifat bertanggungjawab, tiada adab, kurang berdisiplin, tidak
peka dan tidak sensitif.
"Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan
Ibrahim sendiri mengakui baginda kecewa dan menganggap isu kain rentang
itu adalah satu perbuatan tidak wajar.
"Penyokong yang tidak berpuas hati sepatutnya perlu mendapatkan fakta
yang jelas terlebih dahulu," Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dilapor sebagai berkata.
Bernama melaporkan Hamidin sebagai berkata PBNJ bertindak cepat dengan
mengarahkan marshal yang dibantu dengan pihak polis bagi menangkap
penyokong terbabit dalam masa sejam.
"FAM akan mengeluarkan surat pekeliling kepada semua persatuan bola
sepak negeri dan kelab supaya memantau kain rentang penyokong
masing-masing supaya tidak membawa sepanduk atau apa-apa yang boleh
menimbulkan provokasi," beliau dipetik sebagai berkata.
Hamidin turut menegaskan FAM bukan persatuan yang dikendalikan oleh
seorang individu sahaja tetapi meliputi semua kelab dan persatuan negeri
gabungan.
"Ini bermakna semua ahli gabungan di bawah FAM bertanggungjawab dalam
hal ini dan semua penyokong di bawah naungan tersebut adalah tidak
terkecuali," katanya, seperti dilaporkan agensi berita nasional.
Pada perlawanan semalam, JDT muncul juara Piala Sultan Haji Ahmad Shah
2015 dengan mengalahkan juara Piala Malaysia musim lepas, Pahang 2-0.
No comments:
Post a Comment