shahbudindotcom
Sejak
kelibatnya tidak muncul ketika hukuman dijatuhkan dan kemudian didapati
sudah melarikan diri ke negara kangaroo itu untuk mengelak hukuman mati
keatasnya, ramai yang menjangkakan beliau pasti akan melakukan kejutan
suatu hari nanti.
Beliau
dipercayai memang sengaja melarikan diri kerana menganggap tiada
keadilan dalam hukuman yang diterimanya dan memilih Australia sebagai
tempat pelariannya ialah kerana negara itu tidak menguatkuasakan hukuman
mati serta menolak ekstradisi pesalah yang disabitkan dengan hukuman
tersebut.
Mendedahkan
kebenaran dan siapa yang mengarahkannya dalam kes pembunuhan Altantuya
dianggap pilihan terbaik baginya untuk membersihkan namanya.
Berada
di pusat tahanan Imigresen Australia sekarang, Sirul melalui temubual
telefon dengan Malaysiakini, padanya mulanya hanya mengatakan beliau
sedang menimbang dengan serius mahu mendedahkan cerita sebenar mengenai
pembunuhan yang dianggap misteri itu.
Tetapi
secara perlahan-lahan juga melalui temubual dengan portal itu beliau
mula mendedahkan bahawa ada seseorang yang masih bebas mengarahkan
membunuh Altantuya itu. Ia sekaligus mengulangi keterangannya dalam
mahkamah dulu bahawa beliau adalah "kambing hitam" semata-mata dalam kes
tersebut.
Sirul
juga cuba memutihkan namanya dengan mengatakan beliau tidak pernah
mengaku melakukan pembunuhan itu serta tiada saksi yang dapat
membuktikannya, namun sabitannya hanya berdasarkan keterangan mengikut
keadaan semata-mata.
Walaupun
Sirul bersama Azilah Hadri sudah dijatuhkan hukuman mati dan Razak
Baginda, rakan karib kepada Perdana Menteri, Najib Razak yang dituduh
bersubahat dengan pembunuhan itu sudah dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi
dan kesnya tidak dirayu, motif pembunhan dan siapa yang memberi arahan
masih tidak diketahui sehingga kini.
Ini
kerana dalam kes Azilah dan Sirul ini, barangkali buat pertama kalinya
dalam sejarah perundangan, mahkamah memutuskan motif pembunuhan bukan
satu faktor yang penting untuk diketahui.
Razak
pula, dalam satu temubual dengan Malaysian Insider setelah kedua-dua
anggota polis itu dijatuhkan hukuman mati menyatakan, polis yang jahat
memang selalu membunuh orang sebagaimana yang berlaku kepada ramainya
yang mati semasa berada dalam tahanan reman.
Yang
paling ingin diketahui daripada Sirul melalui pendedahannya ialah
siapakah yang mengarahkannya melakukan pembunuhan itu. Jika didedahkan
siapa yang mengarahkannya, maka akan terungkailah motif pembunuhan itu.
Bila terdedah motif, maka keadilan pun akan tertegak dengan sendirinya.
Mungkin
Sirul ketika ini, selain memikir tentang pendedahan, beliau juga sedang
menimbang media antarabangsa yang difikirkan paling sesuai baginya
untuk mendedahkan cerita itu. Sirul pasti mahu pendedahannya memberi
impak paling besar, bukan saja dalam konteks menegakkan keadilan,
membersihkan namanya dan membawa perancang utama pembunuhan Altantuya ke
muka pengadilan, malah kalau boleh menggegarkan dunia sekali pun.
Dengan
bergegarnya dunia dengan pendedahan itu nanti, barangkali ia adalah
penawar paling mujarab kepada semua derita dan sengsaranya selama ini.
Tetapi
belum pun Sirul mendedahkan siapa yang mengarahkannya melakukan
pembunuhan itu bersama beberapa pendedahan lain yang mungkin
menggemparkan dunia, Najib Razak ketika ditanya pemberita, dengan pantas
menyatakan ianya sebagai mengarut.
Perdana Menteri kemudian menggeleng kepala beberapa kali, lantas berlalu pergi.
Kenapa
Najib begitu cepat mengatakan ianya mengarut sedangkan Sirul belum pun
membuat pendedahan lagi? Kenapa begitu cepat terasa dan tercuit
perasaan?
Dengarlah
dulu apa yang mahu dikatakan Sirul sebelum mengatakan ianya mengarut
atau sebaliknya? Tidak semestinya pendedahan Sirul menjurus ke arah
mengaitkan Najib atau sesiapa yang dekat dengannya terlibat dalam
pembunuhan itu, mungkin ia juga bertujuan membersihkan lagi nama Perdana
Menteri yang ditohmah macam-macam sebelum ini?
Namun,
mengapa Najib cepat sangat tersentuh hati? Belum pun membeli cili,
takkan sudah terasa pedasnya makanan? Sebelum duduk, berlunjurlah
dahulu.
Sebagaimana yang dibangkitkan oleh banyak pihak juga, bukankah Najib sebelum ini sudah bersumpah tidak mengenali Altantuya?
Kalau
sumpah itu sesuatu yang benar, tiada yang benar melainkan benar belaka
dan bukan seperti sumpah-sumpah seperti keterangannya yang mudah
berubah ketika menemui Saiful Bukhari dengan mulanya mengatakan kerana
masalah biasiswa tetapi kemudian menyatakan untuk mengadu dirinya
diliwat, kenapa Najib rasa terganggu apabila Sirul mengatakan beliau
diarahkan oleh seseorang untuk melakukan pembunuhan terhadap Altantuya
itu?
Sirul
hanya mengatakan beliau diarahkan saja tetapi belum pun menyebut lagi
siapa yang mengarahkannya. Tidak pasti pun sama ada akan menyebut nama
Najib, Razak Baginda atau sesiapa yang lain.
Sebagai
pengamal kesederhanaan, tidak bolehkah didengar dulu apa pendedahan
Sirul itu atau makanlah dulu sesuap dua sebelum mengatakan makanan itu
pedas atau tidak?
Ehhh...Relakslah bro!!
No comments:
Post a Comment