MALAYSIAKINI
Anak seorang anggota polis mati ditembak pada bahagian lengan kiri, bahu
kanan, pipi kiri serta belakang kepala di tempat letak kereta di
kediamannya di Lorong Lapan, Taman Tun Sambanthan dekat SungaiSiput di
Ipoh malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Wan Jamil Wan Chik berkata dalam
kejadian pada pukul 12.30 tengah malam, lelaki berusia 28 tahun itu
meninggal dunia di tempat kejadian selepas terkena empat das tembakan.
Beliau berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian daripada bapa mangsa yang terdengar bunyi tembakan di hadapan rumahnya.
"Hasil siasatan mendapati mangsa yang ketika itu menaiki kereta seorang
diri dipercayai ditembak dengan beberapa das tembakan ketika turun dari
kereta hendak masuk ke rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bapa kepada mangsa yang tidak bekerja itu merupakan anggota polis di Balai Polis Khantan Baru di Ipoh.
Wan Jamil berkata polis menemui lima kelongsong peluru jenis 9mm dan dua
butir peluru di tempat kejadian manakala dompet serta dua telefon
bimbit milik mangsa mssih berada dengannya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, katanya.
Beliau berkata motif kejadian masih disiasat termasuk mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian itu. - Bernama
No comments:
Post a Comment