MALAYSIAKINI
MP Kapar, G Manivanan mendesak kerajaan agar menghapuskan
permit mengimport (AP) ke atas 2,428 jenis barang makanan bagi
mengurangkan harga barang makanan.
Menurutnya, pelaksanaan AP mewujudkan kawalan monopoli ke atas barang
makanan tersebut, termasuk bijirin, gula, daging, hasil tenusu, koko dan
buah-buahan.
"Saya menyeru supaya sistem permit import ini dimansuhkan untuk
membolehkan barang makanan import dibawa masuk pada harga yang tidak
dijawal oleh beberapa pihak sahaja," katanya dalam sidang media pagi
ini.
Pengerusi biro kepenggunaan PKR itu percaya penghapusan AP akan turut
membantu mengurangkan kesan kenaikan harga barang akibat penurunan
mendadak matawang ringgit.
"Jika tidak berhati-hati, kawalan pasaran oleh pemegang permit import
ini membolehkan mereka menaikkan harga dengan alasan penurunan matawang
ringgit," katanya lagi.
Dalam sidang media sama, MP Pandan Rafizi Ramli pula berkata,
penghapusan AP akan melicinkan lagi pemerolehan barang makanan tersebut
oleh pengimport.
Menurutnya, di bawah sistem sedia ada peniaga terpaksa memohon AP seawal
tiga hingga empat bulan dari tarikh ia dijangka dibawa masuk ke dalam
negara.
Sedangkan katanya, kebanyakan harga barang makanan yang memerlukan AP
sebenarnya turun dan naik dengan cepat berdasarkan harga pasaran.
"Kita mahu kembalikan harga barangan ke harga pasaran terutamanya dalam keadaan harga barang semakin jatuh," katanya.
No comments:
Post a Comment