AMPANG: Seorang penyanyi terkenal era 1990-an dan teman wanitanya
ditahan polis kerana dipercayai memiliki dadah dalam serbuan di sebuah
rumah di Taman Keramat, awal hari ini.
Serbuan pada 12.30 tengah malam itu dilakukan pasukan Polis Bahagian
Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ampang, yang menemui satu bungkusan
plastik disyaki heroin kira-kira 1.2 gram di dalam sebuah bilik.
Hasil ujian air kencing mendapati penyanyi berusia 43 tahun itu positif
dadah morfin manakala teman wanitanya yang berusia 32 tahun positif
dadah amphetamine.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairuldin Saad hari ini mengesahkan
penahanan penyanyi dan teman wanitanya bagi membantu siasatan mengikut
Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 15(1)(a) akta sama.
"Kami akan mendapatkan perintah reman terhadap mereka di Mahkamah
Majistret Ampang hari ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
No comments:
Post a Comment