MALAYSIAKINI
“Kenapa orang (dalam) penjara makan seperti binatang?”
Begitu luahan Hamizah Che Amat, isteri kepada penulis blog Amizudin
Ahmat yang dipenjara kerana menghina mahkamah ekoran terus menyiarkan
artikel fitnah terhadap bekas menteri Tan Sri Rais Yatim (bawah).
Hamizah hari ini tampil dengan dakwaan layanan buruk terhadap suaminya
itu dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya bersama
peguam dan NGO Jingga 13.
“Pada hari ketiga saya melawatnya, dia tak bersalin pakaian, nak solat, sembahyang pun tak ada air.
“Makanan yang diberikan kepadanya ibarat makanan kucing. Ikan berbau busuk, belum makan sudah tahu (busuk).
“Kalau pihak penjara buat macam ini kepada semua orang, kena fikirlah kita ini bukan binatang, kita manusia.
“Jadi saya terkilan sangat, penjara melayan orang macam ini ke? Kita
manusia, ada hati dan perasaan, Cuba mereka orang duduk dalam, apa
perasaan mereka?” kata Hamizah dengan marah.
Beliau juga mempersoalkan ke mana perginya perbelanjaan kerajaan sehinggakan banduan diberi layanan seteruk itu.
'Ini dikatakan hina mahkamah?'
Hamizah terus mempertahankan tindakan suaminya yang hanya menulis dan “menyimpan” tulisan dalam blognya Sharpshooter.
“Ini dikatakan hina mahkamah? Saya tak faham apa maksud hina mahkamah,” soal Hamizah.
Sementara itu, Ketua Koordinator Jingga 13 Fariz Musa pula berkata
Amizudin dibawa ke sebuah sel bersama sembilan orang penjenayah dan
keesokan harinya dipindahkan ke bilik bersebelahan bilik hukuman
gantung.
“Kemudian
beliau dipindah ke blok RSD (klinik penjara) dan diasingkan atas
kategori keselamatan dan kini berseorangan diri,” jelasnya.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi penjara berhubung dakwaan itu.
Amizudin (kanan) dihantar ke penjara pada 8 Januari lalu
selepas gagal mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan di Putrajaya untuk
merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.
Mahkamah lebih rendah itu sebelumnya mendapati dia bersalah kerana
berterusan menyiarkan artikel memfitnah Rais dan dijatuhi hukuman
penjara tiga bulan.
Ketika keputusan disampaikan, Amizudin digari oleh polis menyebabkan suasana sedih menyelubungi mahkamah.
Malah Amizudin dan anggota keluarganya dilapor kelihatan mengesat air mata.
Sebelum dihantar ke lokap polis, dia sempat melambaikan tangan sambil berkata: "Assalamualaikum, lawan tetap lawan".
Penjara: Amizudin dilayan baik
Sementara itu, The Star Online melaporkan Timbalan Pengarah
(Bahagian Dasar) Jabatan Penjara Supri Hashim sebagai berkata Amizudin
diberikan layanan baik selaras dengan peraturan dan undang-undang
penjara.
“Makanan diberikan menuruti diet seimbang yang diluluskan oleh
Kementerian Kesihatan, dalam keadaan bersih dan diperiksa sebelum
diberikan,” beliau dipetik sebagai berkata ketika dihubungi portal itu
hari ini.
Beliau juga dilapor berkata minuman dihidangkan dalam bekas tertutup dan
setiap banduan diberikan cawan plastik sendiri atas alasan keselamatan.
Ketika ini, lapor portal itu, Amizudin ditempatkan di biliknya sendiri yang mempunyai lampu, katil dan tandas sendiri.
Amizudin juga dilapor diasingkan daripada banduan jenayah kerana dia ditahan bawah pertuduhan awam.
Supri berkata Azimudin juga diberikan dua pasang pakaian.
Ketika dihubungi pada Rabu malam, lapor The Star Online lagi,
Hamizah mengesahkan bahawa tempat tinggal dan layanan diterima suaminya
di penjara bertambah baik berbanding tarikh sabitan kesalahannya sebelum
ini.
No comments:
Post a Comment