KUALA LUMPUR: Nasib
dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS berhubung rayuan terhadap
keputusan parti itu menggantung keahlian mereka daripada parti itu tidak
akan didedahkan kepada umum.
Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS,
Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, keputusan untuk
merahsiakan hasil mesyuarat majlis itu dibuat bagi menghormati kedua-dua
Adun berkenaan.
"Kita akan hantar surat keputusan kepada dua orang yang merayu, lepas itu baru kita beritahu.
"Kandungan surat itu hanya boleh
diberitahu dua tiga hari selepas ini, ini sebagai penghormatan kepada
mereka berdua," katanya kepada pemberita di Pejabat Agung PAS di sini,
Ahad.
Bagaimanapun Nik Muhammad Zawawi
mengesahkan keputusan Majlis Syura Ulama terhadap rayuan Saari Sungib
(Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) dicapai secara sebulat
suara.
"Kita semua bersetuju dengan keputusan
yang diambil, sebulat suara. Tak ada seorang pun yang bercanggah dengan
keputusan itu," katanya.
Pada 11 Oktober lalu, Jawankuasa PAS
pusat membuat keputusan menggantung keahliaan Saari dan Hasnul selama
setahun berkuat kuasa serta merta.
Namun pada 27 Oktober lalu, kedua-dua mereka mengemukakan rayuan terhadap hukuman berkenaan.
Saari dan Hasnul sebelum ini
menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR, Datuk Seri
Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar ketika Selangor dilanda
krisis jawatan tersebut.
Kedua-dua Adun itu kemudiannya
dipanggil oleh Jawatankuasa PAS Pusat bagi memberi penjelasan berhubung
tindakan mereka menyokong pencalonan Dr Wan Azizah dan membuat kenyataan
yang bercanggah dengan pendirian parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan