IPOH: Jumlah mangsa banjir di Changkat Jong dekat Teluk Intan di sini,
meningkat kepada 350 orang setakat pagi ini berbanding 327 orang malam
tadi.
Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Daerah Hilir Perak Mohd Fazly Mohamad
Zawawi berkata sebuah lagi pusat pemindahan banjir dibuka di Dewan Orang
Ramai Kampung Degong yang menempatkan 23 mangsa banjir manakala di
Sekolah Kebangsaan Changkat Jong kekal 327 orang.
"Kita dapati air Sungai Bidor di Kampung Degong melimpah dan
mengakibatkan banjir di kawasan itu. Cuaca pagi ini tidak hujan dan
paras air sungai mencecah 28.7 meter," katanya ketika dihubungi Bernama
hari ini.
Mohd Fazly berkata mangsa banjir di dewan itu melibatkan sembilan
keluarga terdiri daripada lelaki dewasa sebanyak empat orang manakala
perempuan dewasa (10), kanak-kanak lelaki (tujuh) dan kanak-kanak
perempuan (dua).
Katanya mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong tidak
dibenarkan pulang ekoran paras air sungai masih mencecah 3.54 meter.
"Kesemua mangsa melibatkan 97 keluarga terdiri daripada 66 lelaki
dewasa, wanita dewasa (82), kanak-kanak lelaki (64), kanak-kanak
perempuan (51), lelaki warga emas (17), perempuan warga emas (19), bayi
lelaki (18) dan bayi perempuan (10)," katanya.
Penduduk yang terjejas dari empat kawasan penempatan di Lorong Mesra di
Batu 7, Lorong Kedah di Batu 8, Lorong di Batu 11 dan Kampung Batu 9,
katanya.
Banjir itu adalah yang kedua melanda kawasan Changkat Jong dalam tempoh
dua minggu selepas ban Sungai Bidor pecah akibat hujan lebat dan air
melimpah ke kawasan penempatan.
Dalam banjir pertama pada 14 Nov lepas, sebanyak 56 mangsa banjir dari Lorong Mesra dipindahkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan