MALAYSIAKINI
Menteri Besar Mohamed Azmin Ali hari ini 'merayu' kepada Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) BN supaya menerima wang peruntukan sebanyak
RM200,000 setahun yang akan diberi oleh kerajaan negeri mulai tahun
depan.
Ketika berucap pada sesi penggulungan Rang Undang-undang Enakmen
Perbekalan 2015, Azmin meminta supaya wang itu diterima demi kepentingan
rakyat.
"Pendirian kerajaan negeri adalah kekal dengan peruntukan untuk setiap
ADUN pembangkang iaitu RM200,000 setahun kepada 12 ADUN. Ia dikekalkan.
"Saya senyum ini, OK? Terimalah untuk rakyat. Ini merayu ni. Saya merayu terimalah. Demi rakyat," kata Azmin sambil tersenyum.
Selepas itu, Ketua Pembangkang Datuk Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong)
berdiri dan memberitahu bahawa, pihaknya akan cuba mempertimbangkan
pemberian itu.
Bagaimanapun, katanya, atas dasar prinsip, jumlah yang diberikan perlu sama seperti yang diterima oleh ADUN Pakatan Rakyat.
"Kita pun bekerja untuk rakyat. Saya sering berasaskan kepada prinsip.
Wakil rakyat tak kira pembangkang atau tidak, dipilih oleh rakyat.
Kepentingan kena bersama. Jumlah kena sama. Atas dasar prinsip.
"Kita menolak atas dasar prinsip. Kalau benda ini atas dasar keikhlasan,
kita akan mesyuarat balik untuk kaji kedudukan sebenar," kata
Shamsudin.
Perkara itu menyebabkan Azmin sekali lagi memberi penjelasan bahawa
setiap DUN menerima jumlah wang yang sama iaitu sebanyak RM700,000.
Bagaimanapun, di setiap DUN yang dimenangi BN, Azmin menjelaskan, hanya
RM200,000 diberi kepada ADUN dan selebihnya kepada penyelaras DUN.
'Masuklah Pakatan, dapat RM700,000'
Dengan nada bergurau, Azmin bagaimanapun berkata, jumlah RM700,000 boleh
diperoleh oleh Shamsudin sekiranya beliau menyertai Pakatan.
"Sekurang-kurangnya, pemberian peruntukan ini permulaan yang baik.
Mungkin ia akan membuka hati Sungai Burong untuk menerima tahun depan.
Kita boleh pertingkatkan (jumlah peruntukan).
“Setiap yang mula mesti dengan langkah pertama. Langkah pertama
RM200,000. Langkah seterusnya, kalau Yang Berhormat masuk Pakatan, dapat
RM700,000," kata Azmin sambil ketawa.
Kemudian, Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) pula bangun dan
mempersoalkan sama ada Tan Sri Khalid Ibrahim (Bebas-Pelabuhan Klang)
menerima jumlah yang sama dengan ADUN Pembangkang yang lain.
Khalid tidak hadir pada sidang hari ini.
"Yang Berhormat sebut 12 ADUN BN, bagaimana dengan sahabat saya di
sebelah ini (Khalid) tak disebut. Walaupun tak sebut, dia ini pejuang
juga," kata Sulaiman berseloroh.
Azmin kemudian membalas kenyataan Sulaiman itu dengan mengatakan bahawa
Khalid juga akan menerima peruntukan dengan jumlah yang sama dengan ADUN
pembangkang iaitu RM200,000.
“Semenjak bila Permatang prihatin dengan Pelabuhan Klang? Baru hari ini
Permatang ambil berat dan prihatin dengan Pelabuhan Klang.
“Pelabuhan Klang juga kita akan bagi RM200,000. Itu prinsip," kata ADUN Bukit Antarabangsa itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan