Sani Harun
 
 
BARU-BARU ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menjelaskan bahawa kutipan zakat pada 2013 meningkat mencecah RM2.2 bilion, namun ia masih tidak mencukupi untuk menampung penerima zakat yang semakin ramai.

Bagi mendapatkan jawapan terperinci, Sinar Harian mendapatkan penjelasan daripada Ketua Bahagian Korporat, Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK), Sani Harun.


Jadi pada pandangan saudara mengenainya. Adakah zakat masih tidak mencukupi?

Apa yang kita ketahui, masih ramai penduduk Islam di Kedah yang tidak mengeluarkan zakat dan jumlah itu sepatutnya lebih tinggi berbanding sekarang. Asnaf kita semakin bertambah manakala kutipan zakat masih berada pada paras sederhana.


Berapakah jumlah kutipan dan agihan zakat di JZNK pada dua tahun kebelakangan ini?

Setiap tahun jumlah kutipan zakat di JZNK meningkat sepertimana kutipan zakat pada tahun sebelumnya terutamanya dari aspek zakat perniagaan, zakat padi dan zakat pendapatan di mana kita telah mewajibkan setiap kakitangan kerajaan membuat potongan zakat melalui gaji.

Pada 2013 sahaja, jumlah kutipan RM123,098,353 berjaya dikutip berbanding 2012 sebanyak RM105,800,470 manakala agihan pada 2013, sejumlah RM105,877,077 diagihkan kepada kelapan-lapan asnaf berbanding 2012 di mana sebanyak RM99,705,474 diagihkan.


Sebelum ini, kita dikejutkan dengan isu segelintir masyarakat Islam meminta bantuan kepada pihak gereja berikutan tidak mendapat sebarang bantuan daripada pihak zakat mahupun agensi kerajaan. Adakah ini benar?

Pihak kami telah membuktikan mereka itu merupakan penerima bantuan zakat tahunan sebanyak RM600. Kes ini dilihat sebagai satu faktor yang boleh mencalarkan imej JZNK sedangkan mereka penerima bantuan zakat. Kami tidak mengabaikan setiap asnaf di Kedah.

Oleh itu setiap penerima bantuan zakat tidak terikat, malah boleh menerima lebih dari satu bantuan tertakluk kepada syarat semasa yang dikeluarkan JZNK.


Pernah orang menyatakan, sekali mendapat bantuan zakat, bantuan tersebut akan terus diterima sehinggalah akhir hayat mereka. Adakah benar kenyataan ini?

Memang tidak dinafikan bahawa pihak institusi zakat seperti JZNK sering berdepan dengan isu-isu ini. Zakat merupakan komponen penting yang dianjurkan oleh Islam untuk membela fakir dan miskin. Namun begitu, zakat adalah satu mata rantai dalam keseluruhan sistem Islam yang kita kenal sebagai syariat.

Seperti hadis Nabi Muhammad SAW; 'Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta, sesungguhnya kekayaan itu adalah kekayaan jiwa' (Muttafaqun’alaih). Hari ini, perkara ini menjadi antara cabaran utama dalam melaksanakan agihan zakat yakni merubah persepsi dan kefahaman umum Islam.

Bantuan zakat merupakan bantuan bersifat sementara pemangkin yang menjadi asas kepada mereka untuk terus maju, keluar daripada kepompong asnaf. Asnaf zakat tidak wajar mendambakan bantuan zakat sepanjang hayat mereka tanpa berusaha untuk keluar dari kesusahan dialami.


Ramai yang mempersoalkan golongan berada turut mendapat bantuan zakat sama ada berbentuk bantuan biasiswa mahupun sekali gus.

Kita mempunyai lapan asnaf di mana salah satunya asnaf yang berada di bawah Fisabilillah iaitu berjuang di jalan ALLAH. Pada hari ini, tafsiran berjuang di jalan ALLAH itu bukan sahaja merujuk kepada mereka yang berjihad dan berperang misalnya tetapi mereka yang menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi di dalam negara mahupun luar negara.

Pelajar ini yang dikategorikan sebagai asnaf fisabilillah bukannya ibu bapa mereka. Nabi Muhammad SAW juga ada membuat pengecualian, bahawa zakat masih boleh diberikan kepada orang kaya jika mereka memerlukan zakat, sesuai dengan keadaan diri mereka.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Imam Ahmad dapat dijadikan sandaran yang mafhumnya; 'Zakat tidak dihalalkan bagi orang kaya kecuali lima golongan ini iaitu satu amil; dua orang yang memberi zakat dengan hartanya sendiri yakni mualaf; tiga orang yang ikut berperang di jalan ALLAH SWT; empat orang yang berhutang dan lima orang miskin yang menerima zakat daripada seorang kaya.


Bolehkah nyatakan jenis bantuan zakat yang diagihkan oleh JZNK dan jumlah penerima sehingga hari ini?

JZNK mempunyai 63 jenis bantuan di mana asnaf fakir mempunyai enam skim bantuan iaitu kewangan fakir bulanan, makanan fakir bulanan, pusat penempatan warga tua, binaan pusat warga tua serta lain-lain bantuan fakir (luar jangka) manakala bagi asnaf miskin pula, 23 skim bantuan diwujudkan meliputi bantuan kewangan miskin bulanan, makanan bulanan, bantuan tahunan, bantuan penuntut miskin Sekolah Agama Nidzomi, pakaian seragam, baik pulih rumah, bina rumah, jaya diri, musibah alam, rawatan bulanan serta banyak lagi.

Bagi asnaf fisabilillah pula, terdapat bantuan binaan masjid, surau dan sekolah agama, bantuan kepada guru agama, bantuan melanjutkan pengajian, bantuan yuran peperiksaan maahad tahfiz, asrama maahad tahfiz, pengurusan masjid serta banyak lagi. Untuk lebih banyak skim bantuan yang disediakan sehingga hari ini saja, seramai 127,261 orang termasuk pusat agihan sudah diberikan.


Masyarakat umumnya mengetahui zakat terbahagi kepada dua bahagian iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Zakat harta merupakan penyumbang utama peningkatan atau merosotnya jumlah kutipan zakat bagi sesebuah institusi. Zakat manakah penyumbang utama peningkatan jumlah zakat?

Tidak dapat dinafikan bahawa zakat harta menjadi komponen utama peningkatan kutipan zakat. Di JZNK sendiri khasnya zakat pendapatan, zakat perniagaan dan zakat padi serta zakat wang simpanan antara zakat yang paling mendapat sambutan.

Dari carta yang diperoleh, sebanyak 60 peratus daripada keseluruhan zakat yang dikutip datangnya dari zakat pendapatan manakala 22 peratus dari zakat perniagaan, sembilan peratus zakat wang simpanan, lima peratus zakat padi dan selebihnya lain-lain zakat seperti zakat emas dan perak dan sebagainya.