Selasa, 25 November 2014
Melayulah yang khianati Melayu
Rumusan Konvensyen Perpaduan Nasional kelmarin menyimpulkan bahawa perlu ada kerjasama politik antara parti untuk menyelamatkan Melayu. Didakwa orang Melayu akan menjadi senasib dengan Red Indian jika kesatuan parti politik Melayu tidak diusahakan. Soalnya, jika kesatuan itu didasarkan kerana kebangsaan Melayu, maka nasib Melayu sebenarnya bakal menjadi seperti bangsa Arab bukan seperti Red Indian. Bangsa Arab enggan bersatu atas kepentingan Islam maka apa yang terjadi sekarang ialah porak-peranda di rantau Asia Barat.
Soalnya bukankah atas seruan yang sama selama ini, iaitu demi masa depan Melayu, gesaan Melayu bersatu kerap diutarakan, akan tetapi ternyata gagal. Malah sebaliknya berlaku, iaitu perpecahan bukan sahaja berlaku antara parti politik malah juga sesama kepimpinan politik dalam satu parti itu sendiri. Ini telah menyebabkan orang Melayu jadi lemah.
Akibat bangsa Melayu yang sekian lama diasuh menjauhkan diri dari Islam melalui sekularisasi, maka lahirlah Melayu yang sekularis dan Melayu yang korup. Walhasil , kesatuan bangsa tidak dapat dijayakan sebagaimana yang diharapkan kerana pemikiran dan budaya Melayu telah dirosak oleh unsur yang tidak selari dengan Islam, malah bertentangan dengan Islam.
Perhitungan bahawa orang Melayu akan menjadikan seperti Red Indian adalah penilaian yang silap yang bersifat "defeatist" (menyerah kalah tanpa berusaha). Melayu tidak akan senasib Red Indian jika kepimpinan Melayu tidak korup dan tidak menindas bangsa sendiri. Sebenarnya kepimpinan Melayu itu sendiri yang menyebabkan bangsa menjadi terpinggir dek sifat rakus yang menguasai segelintir pemimpin yang mengatasnamakan perjuangan Melayu.
Sebagai contoh Melayu Pulau Pinang terpinggir bukan hanya disedari sekarang malah sejak puluhan tahun yang lalu lagi. Demikian Melayu terpinggir di bandar-bandar seperti di Taiping, Ipoh, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Subang, Seremban, Batu Pahat, Muar, Johor Baharu dan Kuantan bukan sesuatu yang mengejutkan. Sudah lama Melayu tersisih akibat pembangunan yang diluluskan oleh kerajaan yang diterajui oleh orang Melayu sendiri.
Cukup dengan penyelewengan kuasa ditangan kepimpinan Melayu yang rakus, bangsa Melayu boleh menggadai tanah air, malah bangsanya sendiri. Bangsa Red Indian diusir dan dibunuh di Amerika oleh penceroboh kulit putih. Red Indian tidak dikhianati oleh pemimpin mereka sendiri. Mereka dizalimi oleh operasi genosid yang dilancar oleh bangsa kulit putih yang sangat rasis.
Namun bangsa Melayu telah dirosakkan sendiri oleh kepimpinan Melayu dengan menanam nilai hidup feudal serta menkondisikan mentaliti Melayu kepada hidup bergantung. Bangsa Melayu akhirnya menjadi hamba kepada golongan elit yang berkepentingan. Akhirnya bangsa Melayu bawahan terpaksa menerima sikap hidup menyerahkalah dan tunduk kepada nasib mentimun iaitu "menggolek luka, digolek juga luka".
Melayu yang kritikal terhadap pemerintah yang menyalahguna kuasa sering dipandang serong, malah dihadapkan dengan tindakan tidak berperikemanusiaan. Tidak sedikit memorandum dan tindakan mahkamah yang terpaksa diambil oleh pelbagai kelompok Melayu yang tertindas sepanjang lima dekad sejak merdeka. Pejuang-pejuang Melayu dalam pelbagai wadah termasuk politik, bahasa, tanah, petani, usahawan kecil, peneroka bandar, pendidikan, kebudayaan, kontraktor dan lain-lain menjadi mangsa kepada tindakan pemerintah yang mengguna berbagai kaedah yang mendera bangsa sendiri hanya kerana menzahirkan protes dan menuntut hak.
Melayu sendiri yang menjadi mangsa kepada kerakusan pemimpin yang berkepentingan peribadi sehingga sanggup mengguna kuasa politik untuk menganiayai bangsa sendiri.
Melayu yang diusir keluar dari perkampungan sendiri, dirampas tanah, dipindahkan, dibekukan jawatan, dipenjara, dinafi bantuan, diugut, ditarikbalik biasiswa, diperlaku seolah pendatang asing adalah antara rekod penindasan yang dilakukan oleh pemimpin Melayu sendiri.
Siapa yang menyebabkan tanah Melayu terlepas tangan dan tergadai? Siapa yang menafi hak sekolah agama rakyat? Siapa yang membunuh tulisan jawi? Siapa yang melenyapkan sejumlah perkampungan Melayu? Siapa yang mempersoalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu? Siapa yang mendewa-dewakan pendidikan Barat ? Siapa yang menafikan undang- undang syariah di daulatkan?
Ditambah lagi penyelewengan wang rakyat, pecah amanah dalam agensi Melayu, rasuah dan kecuaian dalam urustadbir, semua ini adalah dilakukan oleh kepimpinan dan petugas dikalangan orang Melayu sendiri.
Jika semua ini dijumlahkan kesannya maka tidak ada yang dapat menafikan pemimpin-pemimpin Melayu-lah yang menjadikan bangsanya senasib dengan kaum Red Indian .
Jadi, jika nasib orang Melayu mahu dijamin atas alasan ujudnya ancaman politik dari kaum lain, yang perlu diinsafi ialah, keperluan membersihkan kepimpinan Melayu itu sendiri, bukan hanya dengan menuding jari kepada kaum lain sampai bila-bila.
Teras berpandangan Perpaduan Nasional dalam masyarakat majmuk hanya boleh dicapaikan dengan prinsip kebenaran dan keadilan Islam. Perkongsian kuasa berteraskan hak dan tanggungjawab antara kaum dengan mengutamakan sikap saling memahami dan menghormati antara satu sama lain boleh mengujudkan keharmonian yang sangat diperlukan untuk mengekalkan keamanan dalam negara.
Kerangka Perlembagaan Persekutuan yang disepakati perlu dimanfaatkan dengan semangat mengujudkan rakyat Malaysia yang menghormati perjanjian sosial yang selama ini dapat bertahan menjadikan Malaysia aman dan makmur.
Mempertajamkan sikap perkauman chauvinis akan hanya menyebabkan polarisasi kaum bertambah runcing. Membiarkan penyalahgunaan kuasa dan amalan korup dikalangan pemimpin mana-mana kaum akan menyumbangkan kepada keruntuhan dan kehancuran negara. – HARAKAHDAILY
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan