KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai pendirian apabila menegaskan Akta Hasutan 1948 dikekalkan dengan cadangan pindaan.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, Perdana Menteri itu tidak mempunyai kekuatan untuk memberi dan melakukan perubahan walaupun beliau telah berjanji dengan rakyat untuk memansuhkan akta tersebut.
"Janji dia sebelum ini hanya untuk melunakkan sahaja, Najib tidak kuat. Tidak ada pendirian. Macam isu ISIS dulu pada awalnya dia sokong, sekarang buat auta, tidak ada pendirian!" tegas Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu.
Beliau juga percaya Akta Hasutan itu gagal dimansuhkan kerana ia satu-satunya akta yang menjadi senjata untuk menyelamatkan Umno.
"Akta untuk Umno semata-mata, bukan untuk rakyat," katanya kepada Harakahdaily.
Bagaimanapun beliau yang juga Pengerusi Lajnah Demokrasi dan Mobilisasi PAS tidak sekali mengalah dan akan tetap melawan akta itu yang sering disalahgunakan oleh Umno BN.
"Kita tetap akan lawan. Kita akan buat gerakan seperti kita gerakan rakyat menentang ISA dan juga Akta Polis sehingga kerajaan beralah dan memansuhkan Akta Hasutan," katanya.
Hari ini, pada Perhimpunan Agung Umno Najib berkata Akta Hasutan 1948 dikekalkan dengan cadangan pindaan untuk memasukkan dua peruntukan khas bagi menguatkan dan memperkukuhkan akta itu.
Presiden Umno itu juga berkata kedua-dua peruntukan khas itu bertujuan melindungi kesucian Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.
Reaksi pendirian itu, membuatkan 2,752 perwakilan berdiri dan bersorak sebagai tanda menyokong keputusan Presiden parti Melayu terbesar di negara ini yang kini dianggotai 3.47 juta orang.
Sebelum ini Najib Tun Razak dilaporkan telah berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan pada 11 Julai 2012 dan sekali lagi pada 3 Julai 2013. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan