Kesimpulan Khalid Jaafar terhadap gerakan Islam adalah
kemahiran bahasa dan strategi komunikasi. Pada hemat beliau, kekangan
bahasa yang inklusif dan terbuka menyebabkan wacana yang dianjurkan oleh
golongan Islamis di Malaysia mandom dan tepu. Ada kalanya,
intelektualnya mandul.
Telahan ini benar. Memang betul bahawa cabaran besar yang
sedang dihadapi oleh aktivis Islam adalah mutu penyampaian bahasa yang
tidak mesra golongan masyarakat yang ragam. Namun, suatu hal lain adalah
– kesilapan gerakan Islam di Malaysia adalah tahap kearifan ilmu sosial
yang terbatas. Mereka lebih senang berbicara di dalam bahasa ‘teks’ dan
‘feqah’ yang eksklusif– jadi, akses pada masyarakat umum itu terbatas,
jika mereka bukan datang daripada kelompok Islamis.
Perbualan penulis dengan seorang ahli politik Indonesia,
Kyai Maman Imanulhaq sedikit sebanyak membuahkan formula bagaimana
Indonesia bangkit dengan kekuatan intelektual yang ditunjangi gerakan
agama. Pesan Kyai Maman kepada penulis: “Islam tidak akan rebah jika
umat Islam itu sedar bahawa kemanusiaan itu ditegakkan dahulu, sebelum
jatuhnya hukum!”
Ditanya lebih lanjut tentang Islam di Indonesia, Kyai Maman
– tokoh agama yang lahir daripada korpus pemikiran Nahdatul Ulama’
menegaskan bahawa aktivis Islam di Indonesia itu harus menguasai tiga
kitab pemikiran.
Pertama, kitab kuning. Kitab Kuning mewakili tradisi keilmuan dan
pemikiran Islam klasik. Seorang agamawan itu harus menguasai tradisi dan
budaya untuk membangun aspirasi. Kedua, kitab putih mewakili
penguasaan terhadap ilmu studi sosial seperti sains politik, sosiologi
dan falsafah. Tanpa penguasaan ‘kitab putih’, Islam akan kekal sebagai
teks yang beku dan kaku.
Jadi, pengamatan terhadap masalah masyarakat amat penting
buat para agamawan untuk mencipta ‘feqah’ yang bersesuaian dengan
kondisi budaya dan tradisi tempatan.
Ketiga, kitab kelabu. Kitab kelabu pula adalah kitab
pemikiran. Untuk membangun daya intelektual yang jitu, seorang agamawan
itu harus membangun pemikirannya sendiri, supaya tidak terikut-ikut
untuk menjadi orang lain.
Kyai Maman merupakan anak murid mantan Presiden Indonesia,
Abdurrahman Wahid (Gus Dur). Kini, dia salah seorang ahli Dewan
Perwakilan Rakyat (DPR) daripada Partai Kebangkitan Bangsa (PKB) yang
didirikan Gus Dur semasa hayatnya.
PKB merupakan dokongan kuat Jokowi, di saat 30 persen
daripada kerusi DPR yang dimenangi oleh blok Islamis semasa Pemilu 2014
bersama di dalam Koalisi Merah-Putih yang diketuai Prabowo Subianto,
seteru politik Jokowi yang tewas di dalam pilihanraya presiden (Pilpres)
yang lepas.
Gagasan Islam Kosmopolitan yang dimulakan Gus Dur menjadi
akar kepada intelektual aktivis Islam di Indonesia. Islam kosmopolitan
dalam pandangan Gus Dur adalah agenda untuk menjadikan Islam itu bukan
sebagai strategi politik semata-mata, tetapi strategi kebudayaan yang
mekar dalam tempoh berdekad-dekad di Indonesia.
Majoriti Islamis di Indonesia masih berpegang dengan
semangat negara bangsa Indonesia melalui demokrasi dan konsep negara
hukum. Asas kekuatan mereka bergantung dengan usaha intelektual Islam di
Indonesia untuk menjambatani perbezaan masyarakat Indonesia yang jamak
budaya, berbeza akidah dan identiti yang rencam.
Cabaran besar gerakan Islam di Malaysia, penulis akui
terletak kepada cabaran yang dilontar Khalid Jaafar ketika mengamati
perkembangan dan kemajuan gerakan Islam di Malaysia.
Dr Farish Noor, sarjana sains politik yang tekun mengkaji
perkembangan Parti Islam SeMalaysia (PAS) semenjak awal penubuhan parti
Islam tertua di Malaysia pula memberikan pendapat bahawa gerakan Islam
di Malaysia bergerak sebagai kolektif yang ‘non-linear’. Sepertimana di
dalam mana-mana gerakan ideologi, gerakan Islam itu juga ada
‘maju-undur’nya.
Di dalam Islamism of Mottled Nation (2013), Farish
menyingkap perubahan sejarah sosio-politik PAS yang penuh dengan
pergelutan dasar politik untuk kekal relevan masakini. Kekangan terhadap
komunikasi dan bahasa telah menyebabkan majoriti aktivis Islam di
Malaysia mengalami kesukaran di dalam memahami kompleksiti politik dunia
pada hari ini.
Perkembangan dunia Islam global mendorong aktivis Islam
untuk menerima idea demokrasi dan kepelbagaian. Secara lumrahnya,
aktivis Islam kini berhadapan dengan ranah masyarakat yang berbeza
budaya dan kepercayaan. Jadi, mereka tidak boleh berbahasa dengan nada
eksklusif dalam kalangan mereka sahaja. Mereka memerlukan daya
intelektual yang inklusif dan sejagat– sebagai seruan Islam itu ada
agama ‘rahmatan lil alamin’ – agama yang menyampaikan mesej-mesej sejagat!
Cabaran Islamis hari ini terletak pada kesediaan mereka
memimpin gerakan demokrat. Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menyampaikan
ucaptama Kongres Muslim Demokrat Sedunia di Kuala Lumpur bulan lepas –
menyingkap peranan filasuf-penyair Pakistan, Muhammad Iqbal di dalam
mendepani cabaran pemikiran Barat. Beliau turut memetik beberapa
renungan yang dikongsikan Iqbal di dalam koleksi syarahan di Lahore,
New Delhi dan Aligarth, kemudian dibukukan dengan tajuk, “Reconstruction of Religious Thought In Islam” dan diterbitkan pada tahun 1930.
Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa keresahan Iqbal terhadap
masyarakat Muslim adalah kerana kelemahan daya fikir mereka untuk
memahami bahasa universal dan kosmopolitan yang boleh diraikan oleh
setiap individu di atas muka bumi ini. Cabaran menjadi seorang muslim
demokrat terletak pada sejauh mana kesungguhan aktivis Islam untuk
menerima demokrasi dan kepelbagaian bukan hanya sebagai ‘wasilah’ (alat)
tetapi ‘tawassul’(matlamat).
Kemunculan terorisme atas nama agama, antaranya kebiadapan
golongan fundamentalis seperti Islamic State (IS) dan Boko Haram
mengundang fanatisme agama yang berbahaya. Wadah ‘Islam popular’ yang
dipelopori kelompok ini senang menangkap imaginasi anak-anak muda yang
dahagakan idealisme. Gerakan Islam yang progresif pula perlu menyatakan
sikap dan kesungguhan untuk mengekang pengaruh jahat ini masuk menguasai
majoriti umat Islam.
Cabaran getir sedang dilalui gerakan Islam di Malaysia,
pertama untuk mendekatkan diri dengan isu ekonomi dan sosial yang
mencetuskan keriuhan kelompok massa, kedua untuk membawa imej politik
moderat dan sederhana sebagai alternatif terhadap fundamentalisme dan
ektremisme dan ketiga untuk menyampaikan hasrat demokrasi untuk
melindungi kebebasan setiap warganegara. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan