Marah dengan tindakan orang ramai
mempertikaikan penamaan semula lapan jalan di Kuala Lumpur, Ketua Pemuda
Umno Khairy Jamaluddin hari ini menyeru perwakilan Pemuda agar "bangkit
mempertahankan agama, bangsa dan negara".
Menurut KJ, media sosial Twitter dipenuhi lambakan individu yang
mempertikaikan jasa bekas-bekas Yang di-Pertuan Agong kepada negara yang
kini diabadikan pada nama jalan di Kuala Lumpur.
Sedangkan katanya, kerajaan Pulau Pinang boleh pula menamakan jalan di Pulau Pinang sempena nama mendiang Karpal Singh.
"(Mereka tanya) apakah sumbangan Yang di-pertuan Agong kepada negara?
(Mereka kata) sekurang-kurangnya Karpal Singh ada berbakti kepada
bangsa.
"Kenapa tak kecoh jalan di Pulau Pinang dinamakan Jalan Karpal Singh? Tak ada siapa pun yang bising," katanya.
Lapan jalan di ibu negara, antaranya, Jalan Duta, Jalan Ipoh dan Lebuh
Raya Mahameru ditukar nama-nama sempena Yang di-Pertuan Agong Malaysia
mulai hari ini.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan M Loga Bala menjelaskan, ia
diputuskan kabinet pada Jun lalu setelah dipohon oleh Majlis Raja-Raja.
Dalam ucapan penggulungannya di perhimpunan agung Pemuda Umno di PWTC
petang ini, Khairy berkata media sosial hari ini turut dipenuhi dengan
respons kurang menyenangkan terhadap ucapannya pagi tadi.
Ada yang berani mengakui mereka tidak terikat dengan kontrak sosial
malah ada juga yang menyifatkan hak istimewa orang Melayu sebagai
'sejarah' semata-mata, kata Khairy.
Menurut Khairy, ia berlaku kerana sebahagian media sengaja menggambarkan ucapan beliau bersifat perkauman.
Sedangkan jelasnya, 16 halaman daripada ucapannya menyentuh tentang peremajaan semula Umno sebagai sebuah parti.
"Yang dilaporkan adalah tanggapan, gambaran bahawa kita adalah parti yang rasis. Kononnya kita mereka segala-galanya.
"Saya nak beritahu tuan-tuan inilah buktinya sekiranya kita tak bangkit
di benteng hadapan - negara, bangsa dan agama kita akan diperlekehkan,"
laung Khairy penuh bersemangat disambut tepukan berdiri daripada
perwakilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan