Selasa, 25 November 2014

Palanivel mesti dedah ‘dalang’ bencana Cameron Highlands

Gunung-Jasar.-650x400

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Seri G Palanivel bertanggungjawab untuk mendedahkan ‘dalang’ di sebalik bencana tanah runtuh dan banjir lumpur di sana.

Ia berikutan laporan Bernama semalam yang menyatakan Palanivel mengaku tahu siapa ‘dalang’ di sebalik pencerobohan tanah haram yang sudah berlaku sejak sepuluh tahun lalu yang menyebabkan bencana itu berlaku.

“Mereka (petani) merungut bahawa bukit sedang diganggu, ‘sesuatu di belakang sesuatu’, namun saya tidak boleh dedah terlalu banyak. Saya ada beberapa gambar (bukti), tetapi saya tidak boleh cakap terlalu banyak tentangnya,” katanya seperti dipetik.

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata, Palanivel tiada pilihan lain selain membuka mulut dan menamakan dalang yang dimaksudkannya.

“Saya desak Palanivel untuk bersuara. Pertama, nyatakan sama ada laporan Bernama itu benar. Dan jika benar, beliau perlu jelaskan mengapa tidak boleh berkata apa-apa tentangnya.

“Rakyat telah mengalami kehilangan yang dahsyat. Mengapa beliau takut? Siapa atau apa yang ditakutkan?” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, tiada apa yang lebih penting pada masa ini selain memberikan maklumat agar dapat membantu mangsa dan memastikan ia tidak berlaku lagi.

“Palanivel patut meletakkan sahaja jawatannya selaku menteri dan Ahli Parlimen jika takut untuk bersuara,” katanya lagi.

Pada 5 November lalu, banjir lumpur dan tanah runtuh berlaku di Kampung Raja, Ringlet dan Lembah Bertam menyebabkan kehilangan lima nyawa, dan lebih 90 penduduk terpaksa ditempatkan di pusat penempatan sementara.

Dua hari kemudian, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mengaku ia disebabkan penerokaan hutan yang tidak terkawal namun kurang penguatkuasaan bagi menghalangnya.

Gobind juga Menggesa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan Mesyuarat Khas Banjir Kilat dan Tanah Runtuh semalam untuk menjawab laporan berhubung kenyataan mengejutkan Palanivel itu.

“Apakah tindakan beliau tentang pendedahan Palanivel ini?” soalnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: