Akta Hasutan Akta Hasutan
 
 
KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu menganggap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak cuba mendapatkan kembali pengaruh beliau dalam Umno yang dikatakan kian terhakis melalui keputusan mengekalkan Akta Hasutan 1948.

Pesuruhjayanya, Satiful Bahri Mamat berkata, Najib yang sebelum ini menyatakan untuk mempertimbangkan supaya akta tersebut dihapuskan dilihat berundur ke belakang akibat tekanan ahli parti yang memperlihatkan beliau sudah hilang pengaruh di peringkat dalaman.

Beliau turut menyelar bahawa pengekalan akta itu hanya untuk meneruskan kelangsungan politik Umno dan bukannya orang Melayu.

“Dahulu diwar-warkan akan dihapuskan tetapi dengan keputusan itu menunjukkan sebagai Perdana Menteri, janji tidak ditepati dan yang kedua dari segi politik, pengaruh Najib tidak kuat di peringkat dalaman sehingga terpaksa undur belakang.

“Ini hanyalah untuk kepentingan survival politik Umno sehingga terpaksa bergantung pada akta,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Satiful Bahri berkata sebagai mengulas mengenai pengumuman Najib untuk mengekalkan akta tersebut dan membuat dua penambahan terhadap isi kandungannya.

Satiful Bahri bagaimanapun memberitahu, Pas Terengganu mengambil pendirian menentang Akta Hasutan 1948 yang diumumkan Najib dalam Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Khamis lalu.

Menurutnya, pendirian itu selari sebagaimana keputusan Muktamar Tahunan Pas Kali ke-60 baru-baru ini yang menolak Akta Hasutan sambil memberitahu keputusan kerajaan itu secara tidak langsung menggambarkan Umno bukan sebuah parti relevan pada masa depan.