Oleh Aspan Alias
Apakah hasil Perhimpunan Agung UMNO 2014 perolehi? Jawapannya semua tahu. UMNO tetap sama…sama keadaannya seperti sebelum Perhimpunan Agung itu. Kalau ada pun hasilnya ia tidak begitu diminati oleh rakyat yang tidak suka dan gemar dengan Akta Hasutan 1948 di kekalkan. Ya, itu sahaja perbezaan di antara sebelum dan selepas Perhimpunan Agung itu.
Selain dari itu UMNO tetap UMNO sebelum Perhimpunan Agung dahulu. Ia
masih memainkan isu yang boleh menyatukan ahli-ahli UMNO walaupun buat
seketika walau seburuk mana pun isunya. Selepas Perhimpunan perwakilan
yang tidak tahu isu sebenar yang dihadapi oleh UMNO akan balik kampung
dan seperti yang saya sebut beberapa hari lepas, ‘business as usual’.
Tidak ramai di antara perwakilan itu balik ke kawasan masing-masing
dengan memahami kenapa mereka mewakili UMNO kawasan mereka ke
Perhimpunan Agung itu dan apakah yang mereka perolehi yang baik dari
perhimpunan tahunan itu. Cuba kita tanya mereka apa yang mereka
sumbangkan dalam perhimpunan itu selain dari membaham karipap yang
disediakan oleh urusetia pusat UMNO itu?
Perhimpunan seperti itu pada asasnya ialah bermatlamatkan untuk melihat
apakah perbezaan yang menambah kebaikan kepada parti itu, dengan
perwakilan dan pemimpin yang berbaris duduk di atas ‘high table’ di
Dewan Merdeka itu lakukan.
UMNO yang sepatutnya menumpukan untuk menambah keyakinan terhadap
kepimpinan yang sedang menghadapi krisis keyakinan yang amat kritis itu.
Isu ekonomi tidak langsung disentuh oleh Presiden parti dalam ucapan
dasar Presiden dan itu amat pelik sedangkan itulah masalah dan isu
terbesar yang dihadapi oleh UMNO dan kepimpinan kita.
Isu rasuah tidak dapat dibangkitkan dengan baik dan tidak ada
perwakilan yang mengupas itu dengan teliti sedangkan imej rasuah yang
sedang melekat dan bergayut kepada kepimpinan negara yang kebanyakannya
adalah dari UMNO tidak hilang-hilang lagi, malahan bertambah kuat lagi.
Yang membuat masalah kepada negara adalah kepimpinan UMNO yang duduk
diatas ‘high table’ itu. Jika keadaannya sama, maka UMNO tidak boleh
berharap yang kejayaan mereka akan pasti dalam pilihanraya yang akan
datang, kerana rakyat dan dikalangan ahli-ahli UMNO sendiri tidak
berpuas hati dengan hasil perhimpunan itu.
Saya bertanya kepada salah seorang perwakilan perhimpunan itu tentang
hasil perhimpunan yang begitu mendapat liputan meluas itu. Beliau
menjawab, “tak ada apa-apa, setakat menghabiskan karipap sajalah bang!
Rasanya sudah malas hendak bergiat lagi sebabnya ia hanya untuk
kepentingan pimpinan sahaja...dibawanya kita dibawah ni bersorak dan
bertepuk sahaja”.
Tidak ada suara yang bercakap secara betul tentang isu-isu ekonomi.
1MDB tidak diberikan penjelasan secara teliti dan isu pendidikan
langsung tidak ada pencapaiannya. Malahan perwakilan Kelantan sahaja
yang berkata yang ada pihak yang dicemburukan tentang kejayaan 1MDB.
Entah apa yang dicemburui oleh sesiapa yang mempunyai pemikiran dan
kefahaman sedikit sebanyak tentang 1MDB ini pun tidak siapa yang tahu.
Apa sebabnya orang cemburu dengan syarikat pelaburan kerajaan yang hanya
boleh disertai oleh mereka yang berkesanggupan untuk mengalami kerugian
besar sahaja yang boleh bersama dengan 1MDB itu.
Tidak ada apa-apa isu yang boleh membawa ‘consequence’ besar terhadap
parti itu dalam perhimpunan agung itu, hanya setakat melihat pemimpin
utamanya berucap bergegar-gegar dengan genggaman tangan yang kuat untuk
menambahkan senario pembohongan yang sedang mereka lakukan terhadap
ahli-ahli UMNO dan rakyat keseluruhannya.
Yang kita tahu kita masih dalam genggaman pemimpin yang gila dengan
kuasa dan sifat lahap yang tidak terkawal sahaja. Bagi mereka semuanya
bersalah kecuali mereka sahaja. Jika kita lihat kerajaan kita begitu
lemah, ia adalah disebabkan oleh kita semua, bukannya oleh kerana
kelemahan pimpinan mereka.
Jika ada perselisihan faham di antara rakyat berbilang kaum, ia
disebabkan oleh kita, bukannya oleh kelembapan pimpinan mereka. Jika
negara sarat dengan rasuah itu kerana kesalahan kita, pemimpin kita
tidak rasuah dan akan membawa negara kearah negara maju dan
berpendapatan tinggi, walaupun sudah ramai rakyat yang sedang
bergelumang dalam kesusahan untuk mengharungi kehidupan yang kian
menyempit mereka.
Melebarnya jurang pendapatan di antara segelintir rakyat dengan rakyat
yang ramai itu adalah kesalahan kita semua. Ia bukannya kerana sifat
pemimpin kita yang mengamalkan budaya kronisma dan nepotisma.
Tidak diberitahu bagaimana kah Najib hendak mentadbir negara dengan
kejatuhan harga minyak ketahap USD70 semalam sedangkan Najib hanya tahu
menghadap rakyat sahaja apabila berdepan dengan keadaan ini. Bila pula
cukai-cukai lain hendak dikenakan kepada rakyat kerana isu penurunan
harga minyak ini bukan satu isu kecil.
Yang kaya-kaya hanyalah mereka yang berada di ‘corridor of power’ dan
itu pun salah kita semua, kenapa tidak mengampu dan berkhemah di pejabat
menteri-menteri dan mereka yang berkuasa.
Menghapuskan subsidi bahan bakar itu pun salah rakyat. Subsidi bahan
bakar yang diberikan kepada industri tidak dihapuskan tetapi subsidi
terhadap rakyat ditarik balik. Itu pun salah kita. Semuanya salah kita
dan pimpinan UMNO yang mengaku bijak itu tetap tidak bersalah.
Bagaimana hendak menyalahkan pimpinan UMNO, kerana mereka berada
diatas itu bukannya tahu apa-apa. Kita tidak boleh menyalahkan kepada
mereka yang tidak tahu apa-apa kerana ‘ignorance is not a crime’. Begitu
juga ‘stupidity is not a crime’.
Tetapi kita masih bernasib baik. Kita masih mempunyai tanah terbiar
yang luas. Rakyat marhein boleh mulakan menanam ubi kayu sebagai ganti
‘staple food’ kita apabila negara kita jatuh merudum nanti.
Apa nak ditakutkan, bukankah datuk nenek kita biasa dengan makan ubi
semasa pemerintahan Jepun dahulu? Jika Jepun membuatkan datuk nenek kita
makan ubi, kenapa kita bermasalah jika UMNO akan membuatkan generasi
kita makan ubi sebagai pengganti beras hancur yang sedang dimakan rakyat
biasa dibawah-bawah ini?
Yang pentingnya mereka yang berada diatas ‘high table’ di Dewan Merdeka
itu kenyang dan senang lenang dengan memerah keringat rakyat biasa yang
serba miskin sekarang ini. Walau bagaimana pun kita tunggu ucapan
penangguhan pemimpin-pemimpin kita petang ini dahulu. Manalah kita tahu,
mungkin ada yang baik kita akan dengar.
Kepada perwakilan UMNO diucapkan kembali ke kampung dengan selamat.
Jangan memandu terlalu laju, elakan kemalangan dijalanraya. Terima kasih
banyak-banyak kerana bertepuk dengan bergegar-gegar selama 5 hari
berada di ibu kota. Bukannya tidak letih bertepuk dalam dewan itu.
http://aspanaliasnet.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan