Selasa, 25 November 2014

Najib mesti sedar ramai muda dalam UMNO itu menghidapi penyakit tua

ASPAN ALIAS

Dalam beberapa hari yang lepas PM Najib tidak lekang dari memberikan pandangan yang UMNO perlu di remajakan dan pemimpin yang sudah lama patut memberikan laluan kepada yang muda. Ramai di antara yang memberikan pandangan dan komen, mempunyai pendapat yang kata-kata itu adalah satu ‘signal’ dan isyarat yang beliau mahukan Muhyiddin memberikan laluan kerana di kalangan pemimpin yang memimpin kerajaan dan parti Muhyiddin lah yang tertua sekarang ini.

Dua isu yang disebut yang sedang disentuh oleh ramai secara ‘parallel’ hari ini ialah persepsi yang Muhyiddin tidak selari dengan Najib dalam banyak hal dan keyakinan ramai yang Najib mahukan Hishamudin Hussein untuk mengambil alih kepimpinan dari beliau. Bagi Najib kata setengah pendapat, Hishamudin merupakan pemimpin yang boleh menjamin beliau (Najib) boleh hidup dengan aman dan tenang sesudah bersara nanti. Samada persepsi ini benar atau salah itu masa akan menentukannya.

Tetapi yang saya hendak sentuh bukan isu Muhyiddin atau mana-mana di kalangan pimpinan UMNO dalam Majlis Tertinggi itu tua atau muda dari segi umur dan usia mereka, tetapi kita lihat mereka mendefinasikan yang muda itu adalah dari segi umur dan usia itu sahaja. Parti mungkin dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang muda dari segi umurnya, tetapi parti itu tetap sebuah parti yang mempunyai penyakit seperti penyakit orang tua.

Jika pun Hishamudin diusahakan untuk mengambil alih kepimpinan parti sekali pun, adakah ia pasti UMNO itu tidak menghidapi penyakit tua nya? Adakah persepsi rasuah yang melekat kuat kepada UMNO itu akan hilang jika Hisham mengamboil alih walaupun Hisham itu masih muda terang tang tang. Saya rasa Azeez Rahim masih muda tetapi adakah negara akan selamat jika Azeez diberikan tempat utama untuk menjaga negara dan rakyat diserahkan masa depan nya kepada Azeez misalnya?

Ramai pemimpin dalam Majlis Tertinggi sekarang ini masih muda tetapi remaja kah UMNO itu jika diserahkan kepimpinan negara kepada mereka. UMNO tetap akan menghidap penyakit tua nya jika di antara mereka-mereka yang muda-muda dalam Majlis Tertinggi UMNO itu memimpin negara.

Apakah yang tua nya dalam UMNO itu? Tua nya UMNO itu ialah dari segi penyakit terminal yang sedang mereka hadapi. Apakah penyakit tua yang sedang UMNO hadapi itu? Penyakitnya ialah penyakit sudah lemah daya pemikiran dan lemah dalam mentadbir rakyat dan negara. Rasuah itu merupakan penyakit ‘terminal’ yang tidak lepas dari UMNO kerana rasuah itu sudah menjadi budaya yang tidak lagi salah untuk dilakukan oleh pemimpin UMNO sekarang ini.

Lagi satu penyakit yang dihidapi oleh UMNO sekarang ialah mereka sudah hilang ingatan tentang bagaimana pimpinan terdahulu membina parti itu. Mereka sudah tidak dapat membezakan di antara tangan kanan dan tangan kiri. Yang mana satu yang baik dan yang buruk dilakukan oleh pimpinan dahulu pun sudah tidak mereka ketahui lagi. Fikiran pimpinan UMNO dalam Majlis Tertinggi walaupun ada yang muda seolah-olah sudah mengidap penyakit terencat akal.

Lepas satu isu dan skandal timbul akan datang lagi satu isu dan skandal besar yang akan berlaku dihadapan mata rakyat. Pemimpin-pemimpin muda termasuk memainkan peranan dalam skandal-skandal besar yang dilakukan oleh UMNO itu, setidak-tidaknya mendiamkan diri dan membiarkan ia berlaku kerana kepentingan masa depan peribadi mereka.

Oleh itu kita bertanya kepada Najib, siapa kah pemimpin muda yang beliau hendak cari itu? Apakah definasi muda dan remaja yang beliau maksudkan itu? Bukan kah Majlis Tertinggi itu sarat dengan mereka yang berpenyakit tua seperti disebutkan tadi? Siapa yang tua dan siapa yang muda yang anda maksudkan itu?

Apakah ‘testimonial’ secara organik kepimpinan terhadap negara yang ada dikalangan pimpinan Majlis Tertinggi sekarang ini. Apakah jasa kepada negara yang mereka telah buktikan selain dari membawa negara ketahap sekarang ini?

Meremajakan negara bukannya dipandang dari sudut umur. Meremajakan negara dan kerajaan itu ialah membawa negara dan politik kepada ‘ambience’ yang baru yang lebih ‘pragmatic’ dan berdiri di atas bumi yang nyata yang sesuai dengan keperluan negara kita yang unik ini. Rakyat sudah loya dengan situasi politik sekarang ini yang amat membimbangkan kita semua.

Lagi pun yang muda tidak semestinya mempunyai ‘attribute’ orang tua. Tua atau muda itu bergantung kepada keadaan organ-organ dalam tubuh mereka. Ramai yang masih muda telah menghidapi penyakit kencing manis dan tidak berupaya untuk berfikir dengan betul. Ramai yang masih dibawah enam puluh tahun umurnya sudah hilang keseluruhan kekuatan fisiknya kerana lemah jantung, kerana jantungnya sudah tua dan tidak berfungsi dengan baik.

Ramai yang masih muda tidak mempunyai buah pinggang yang baik lagi kerana buah pinggangnya sudah tua walaupun tubuhnya masih muda. Walaupun mereka muda tetapi banyak organ-organ dalam tubuh mereka sudah terlalu tua dari tubuh mereka dan itu pun sebabnya kita melihat ramai yang mati sebelum tua. Itu semua kerana kerosakan organ-oragan mereka.

Di sebaliknya ramai yang sudah berusia masih mempunyai organ-organ yang muda terutamanya otak dan pemikiran mereka. Walaupun  sudah berusia, gigi mereka masih penuh dan boleh berenang dengan baik. Pendeknya yang patut di pandang ialah organ-organ dalam tubuh mereka. Mampukah organ yang terpenting iaitu otak dan pemikiran mereka tidak lemah.. atau mana-mana organ yang lain yang tidak berfungsi dengan baik?

Bukan sedikit di kalangan yang muda terpaksa dilakukan pembedahan kerana ada organ-organ yang sudah rosak walaupun masih muda. Ada yang terpaksa membuat ‘bypass’ kerana saluran darah mereka sudah tersumbat kerana terlalu banyak makan yang lemak-lemak dan makan terlalu banyak. Bukan gitu?

Kita perlu cari pemimpin yang masih muda daya pemikiran mereka dan lebih bertanggungjawab kepada ramai dan negara. Ramai pemimpin-pemimpin muda dalam UMNO sekarang ini akan menjadi tua apabila menyertai UMNO dengan mengamalkan cara tua UMNO sekarang ini.
Elok diadakan debat perdana tentang isu muda dan tua yang disebut oleh Najib ini kerana beliau hanya melihat dari segi dan sudut umur dan usia sahaja. Beliau seolah-olah memberitahu kita untuk UMNO selamat wajar pemimpin yang muda tanpa mengira samada mempunyai ‘wisdom’ atau pun sebaliknya.

Kita perlu lihat dari sudut penting yang lain dalam usaha meremajakan negara. jangan memilh yang muda semata-mata untuk diperguna menutup segala kekotoran dan noda yang kita telah lakukan.
Memilih darah daging sendiri untuk menggantikan kita ini perlu dihentikan. Negara ini bukan keluarga mereka yang punyai. Negara ini dipunyai oleh semua rakyat.

Tiada ulasan: