MALAYSIAKINI
Petronas mempertimbang untuk mengurangkan antara 15 dan 20 peratus
daripada RM60 bilion perbelanjaan modalnya bagi projek baru tahun depan
berikutan kejatuhan harga minyak sekarang ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Shamsul Azhar Abbad berkata
kumpulan akan menyalurkan sebahagian besar pendapatan ke dalam
perbelanjaan modal, dan ini bermakna kumpulan perlu lebih berdisiplin
dalam pengurusan modal, termasuk dasar dividen yang ketat.
"Jika harga minyak global kekal antara US$70 dan US$75 setong pada tahun
depan, kami merancang untuk mengurangkan dividen dan cukai untuk
kerajaan kepada RM17 bilion, manakala royalti minyak dan gas dikurangkan
kepada RM9 bilion.
"Sekiranya kami menjangka untuk mengekalkan dividen pada tahap sekarang
atau lebih tinggi, ia akan mempunyai kesan yang signifikan ke atas
pertumbuhan kami," katanya kepada taklimat media mengenai prestasi
kewangan kumpulan itu pada suku ketiga semalam.
Bagaimanapun, kumpulan akan mengekalkan sumbangan dividen sebanyak RM29
bilion kepada kerajaan, termasuk, cukai sebanyak RM26 bilion dan royalti
berjumlah RM13 bilion untuk 2014.
Shamsul Azhar berkata untuk mengekalkan pertumbuhan, kumpulan perlu
membangunkan lagi rizab tempatannya dan mencari peluang-peluang lain di
peringkat antarabangsa, yang memerlukan sejumlah besar perbelanjaan
modal.
Katanya, syarikat itu lebih selesa jika harga minyak dunia dikekalkan pada paras US$70 dan US$80 setong tahun depan.
Keuntungan sebelum cukai Petronas untuk sembilan bulan berakhir 30
September 2014 tinggi sedikit kepada RM78 bilion daripada RM76.7 bilion
dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Pendapatan naik kepada RM249.78 bilion untuk tempoh di bawah kajian berbanding RM232.51 bilion sebelum ini.
Bagi suku ketiga, bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai adalah 12
peratus lebih rendah pada RM22.8 bilion berdasarkan pendapatan yang
berkurangan pada RM80.37 bilion.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan