KUALA LUMPUR: Hanya Malaysia Airlines (MAS) yang akan membayar pampasan
kepada keluarga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370
yang hilang sejak Mac lepas, setakat ini.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata jumlah pampasan
yang akan dibayar kepada keluarga mangsa dinilai berdasarkan Montreal
Convention 1999 dan pembuktian kerugian yang ditanggung setiap
penumpang.
"Namun, MAS menawarkan wang pendahuluan pampasan berjumlah US$50,000
sebagai sebahagian daripada bayaran pampasan penuh kepada setiap waris
dan keluarga penumpang selepas kesemua dokumen sokongan yang diperlukan
dikemukakan oleh waris dan keluarga penumpang," katanya dalam jawapan
bertulis di Dewan Rakyat Khamis.
Beliau menjawab soalan Mohamed Hanipa Maidin (PAS-Sepang) yang meminta
Liow menjelaskan sama ada kerajaan atau MAS ada membayar apa-apa
pampasan kepada keluarga mangsa MH370, dan berapa jumlahnya.
Liow berkata sebanyak RM32.6 juta dibelanjakan kerajaan setakat ini
bagi menampung kos operasi mencari dan menyelamat susulan kehilangan
pesawat Boeing 777 itu.
Pesawat MH370 dengan 227 penumpang serta 12 anak kapal dalam perjalanan
ke Beijing apabila ia hilang kira-kira sejam selepas memulakan
penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 8 Mac
lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan