Jumaat, 28 November 2014

'Bagaimana orang sihat mati lepas ditahan?'

MALAYSIAKINI


 


NGO hak asasi manusia mempertikaikan penjelasan polis berhubung punca kematian seorang lelaki dalam tahanan Syed Mohd Azlan Syed Mohamed Nur di Johor awal bulan ini.

Menolak penjelasan bahawa allahyarham mati mengejut, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata perkara itu “tidak masuk akal dan tidak berintegriti”.

“Dalam sijil kematian yang dikeluarkan oleh Hospital Sultan Ismail tertulis si mati mati disebabkan oleh hentakan benda tumpul di dada dan bukan mati secara tiba-tiba,” kata Suaram.

Dalam kenyataannya hari ini, Suaram juga mendakwa polis melarang ayah allahyarham berjumpa dengan anaknya dan didakwa hanya dimaklumkan lama selepas itu oleh pihak hospital.

NGO itu justeru mengesyaki ada “ada sesuatu perkara yang ingin disembunyikan” daripada pengetahuan keluarga.

“Si mati diumumkan mati oleh pihak hospital pada 7.30 pagi dan ayahnya, Syed Mohamed Nur (Ali) hanya dimaklumkan kematian anaknya pada jam 1.00 petang,” dakwa Suaram.

Suaram menggesa pihak bertanggungjawab ke atas kematian itu diheret ke muka pengadilan dan polis “tidak boleh melarikan diri” dengan mengklasifikasikan kematian itu sebagai kematian mengejut.

“Bagaimana seseorang yang muda dan sihat tiba-tiba mati selepas ditangkap oleh polis? ” soal NGO itu.

13 insiden tahun ini


Sementara itu, NGO itu juga menyatakan kebimbangannya dengan kes kematian dalam tahanan yang pada tahun ini sudah mencatat angka 13 orang.

Katanya, masalah paling besar apabila tiada badan bebas untuk memantau tugas polis dan mengambil tindakan terhadap anggotanya yang menyalah guna kuasa.

Setelah sembilan tahun Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis, ia masih tidak dilaksana, tambahnya.

Tiada ulasan: