Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat sekali lagi menegaskan
akan menolak sebarang penambahan kerusi yang tidak adil oleh
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melalui persempadanan semula yang
dijalankan.
Ia berikutan kembimbangan BERSIH dan Tindak Malaysia
sebelum ini tentang kemungkinan Pakatan akan bersetuju dengan penambahan
kerusi Parlimen oleh SPR.
“Kami ingin menegaskan bahawa tiada sebarang perjanjian
yang telah dibuat antara Pakatan dengan SPR, “ kenyataan Jawatankuasa
Persempadanan Semula Pakatan Rakyat dipetik.
“Pakatan tidak boleh menerima mahu pun menolak penambahan kerusi Parlimen sebelum SPR mengemukakan peta pilihanraya yang baru.
“Sebarang penambahan kerusi yang bersifat tidak adil akan
kita tolak,” kata jawatankuasa itu yang dianggotai Ong Kian Ming (Ahli
Parlimen Serdang, DAP), Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai, PKR) dan Dr
Mohd Hatta Ramli (Kuala Krai, PAS).
Persempadanan semula yang dijangka dibuat hujung tahun ini
menimbulkan kembimbangan bahawa ia akan dibuat untuk memberi kelebihan
kepada UMNO-BN pada pilihanraya umum akan datang.
Jawatankuasa itu turut menggesa kerajaan menubuhkan
jawatankuasa bebas untuk mengendalikan
persempadanan semula seperti yang
diamalkan di United Kingdom, ekoran integriti SPR yang amat diragui.
“Sekurang-kurangnya, SPR perlu libatkan pihak dan pakar
pemerhati pilihanraya seperti Merdeka Centre, UMCEDEL dan IDEAS bagi
memastikannya adil dan saksama,” katanya.
Jawatankuasa itu juga menyokong permintaan Majlis
Persempadanan Semula Pakatan Rakyat Pulau Pinang agar SPR bekerjasama
dengan mereka secara langsung dalam urusan itu.
“Sebelum ini SPR telah bekerjasama secara dekat dengan
UMNO, jadi tiada sebab mengapa mereka enggan bekerjasama dengan
Pakatan,” katanya lagi. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan