Roketkini.com.
GEORGE TOWN: Jika dengan mudah Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak melanggar janji sebanyak tiga kali untuk
menghapuskan Akta Hasutan, bolehkah dipercayai janji beliau untuk
membasmi rasuah, mengurangkan hutang dan merapatkan jurang pendapatan.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut membangkitkan
persoalan sama ada kata-kata Najib untuk tidak menutup sekolah Cina dan
Tamil boleh dipercayai.
“Di mana komitmen UMNO untuk membasmi rasuah, atau
sesetengah individu yang kekayaannya melimpah ruah tanpa diketahui
sumbernya apabila perkara sebegini tidak dibangkitkan dalam Perhimpunan
Agung UMNO?
“Mengapa tidak pernah dibahaskan bagaimana seorang anak
muda Malaysia bernama Jho Low boleh mampu menderma sebanyak US$25 juta
kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu?
“Sewaktu mengumumkan Akta Hasutan tidak akan dihapuskan dan
sebaliknya akan diperkukuhkan, Najib mendakwa bahawa keputusan itu
dicapai setelah mendapatkan pandangan para pemimpin dan penyokong UMNO
serta NGO.
“Kini komitmen (kepada) UMNO yang nampaknya lebih penting
dan mustahak daripada apa saja janji yang mungkin dibuat oleh Perdana
Menteri,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.
Katanya, Najib mengecewakan rakyat Malaysia yang masih
percaya kemampuannya sebagai pemimpin yang mengotakan kata-katanya,
namun lebih mengecewakan reaksi pemimpin UMNO terhadap tindakan Najib
memungkiri janji.
Ia termasuk Menteri Kesejahteraan Bandar dan Perumahan dan
Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan yang menyalahkan rakyat
Malaysia sebagai punca Najib mengekalkan Akta Hasutan.
Rahman dilaporkan berkata, rakyat yang mengkhianati
kepercayaan Najib dengan tidak memberikan beliau keyakinan untuk
memansuhkan Akta Hasutan.
“Jika pemimpin UMNO mampu mendesak Perdana Menteri untuk
mencabul janjinya sendiri, 28 juta rakyat Malaysia tidak lagi bersikap
naif untuk terus bergantung harap bahawa Najib akan menepati janjinya,”
kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Tegasnya, parti itu sepatutnya mendengar amaran dilontarkan
bekas presiden parti dan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi
bahawa UMNO tidak sepatutnya menyalahgunakan Akta Hasutan untuk
mengekalkan kuasa.
“Kata Pak Lah hanya sokongan rakyat, bukannya pengekalan
Akta Hasutan yang dapat memastikan kuasa UMNO. Kerana ‘jika rakyat tidak
lagi menyokong kita, tiada undang-undang atas bumi Tuhan ini yang boleh
menyelamatkan UMNO.
“Memang itulah gaya UMNO, menyalahkan pihak lain atas kesalahan mereka sendiri.
“Terutama apabila mereka mengecam dan menuduh masyarakat
Cina menyebabkan UMNO hilang kerusi dalam pilihanraya meski pun pada
hakikatnya orang Melayu sendiri tidak lagi menyokong UMNO,” ujar Guan
Eng. – Roketkini.com.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan