SHAH ALAM – Keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) merupakan langkah tepat, selaras dengan realiti negara yang terbuka lagi dinamik.
Bekas Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh
mendakwa, ISA merupakan satu akta yang mengekang prinsip keadilan dan
kuasa.
Jelasnya, kewujudan akta tersebut menyebabkan lahirnya kongkongan ke atas demokrasi dan kebebasan bersuara rakyat.
"Saya memahami keselamatan negara tidak boleh diabaikan dan kedudukan
Malaysia di mata dunia juga perlu dijaga demi kesejahteraan negara dan
rakyat.
"....Namun keadilan dan kebebasan insan sama sekali tidak boleh
digadaikan," katanya menerusi kenyataan sebagai respons terhadap
kenyataan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang
menentang pemansuhan akta itu.
Menurut Syed Ibrahim, beliau agak kecewa dengan aliran hujah yang disampaikan Abdul Hamid.
“Adakah semata-mata kerana faktor kedudukan negara di mata dunia dijadikan sandaran untuk ISA dikembalikan?
“Apakah sebenarnya hujah dan asas dalam menggubal dan memansuhkan sesebuah akta atau peruntukan undang-undang?” katanya lagi.
Semalam, Abdul Hamid menyifatkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta ISA sebagai satu kesilapan.
Terdahulu, pada 15 September 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak mengumumkan pemansuhan akta tersebut ketika menyampaikan
perutusan khas Hari Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia 2011.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan