MALAYSIAKINI
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pindaan ke atas Akta Hasutan 1948
akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan akan datang.
Perdana Menteri turut mengarahkan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) menguatkuasakan akta itu dengan tegas selepas
ia diluluskan kelak.
"Kita minta polis buat siasatan rapi, kita minta SKMM buat siasatan
sewajarnya juga. Supaya kita beri isyarat jelas (bahawa) tiada sesiapa
harus takut dan bimbang kalau tidak melanggar undang-undang dalam
negara.
"Jangan jadi penghasut antara kaum dan agama. Ini jelas, tiada 'warning'
lagi lepas ini. Kita nak pastikan setiap orang, kaum dan agama hormati
satu sama lain," katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung
Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini.
Presiden Umno itu terdahulu mengumumkan pengekalan akta itu semasa
menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Khamis, dengan memasukkan dua
peruntukan khas bertujuan melindungi kesucian agama Islam dan agama lain
serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar
daripada Malaysia.
Najib menjelaskan beliau memilih pentas Umno untuk membuat pengumuman
pengekalan akta itu atas rasa tanggungjawab terhadap semua anggota parti
berkenaan.
"Kalau suara Umno nak Akta Hasutan dikekalkan, maka saya pilih untuk
terima hasrat ahli-ahli Umno seluruhnya. Tambah lagi bila saya bincang
dengan Timbalan Presiden, pemimpin Umno, semua kata itulah pendirian
yang sebaiknya," katanya.
Kata Najib, keputusan itu bukanlah bermaksud kerajaan tidak berlaku adil
kepada orang lain, sebaliknya menegaskan akta itu akan melindungi semua
rakyat tidak kira kaum dan agama.
"Bagaimanapun, saya tak boleh arahkan Peguam Negara kerana dalam
Perlembagaan, Peguam Negara ada kuasa mutlak, jadi saya minta ketegasan
Peguam Negara untuk jalankan pendakwaan," kata perdana menteri.
Cadangan pemansuhan Akta Hasutan 1948 dikemukakan buat kali pertama pada
Julai 2012, dan akan digantikan dengan akta baharu dikenali sebagai
Akta Keharmonian Nasional.
Sementara itu, Najib dalam sidang media berkata pengekalan Akta Hasutan
1948 adalah bagi melindungi keselamatan seluruh rakyat Malaysia dan
bukannya orang Melayu serta Bumiputera sahaja.
"Ini tentang perlindungan untuk semua. Kami tidak mahu sebarang konflik
agama dan kaum berlaku di negara ini. Kami akan berusaha sedaya upaya
untuk mengelak perkara ini daripada berlaku, itu yang paling penting,"
katanya.
Beliau berkata tindakan memperlekeh hak istimewa orang Melayu, Raja dan
agama Islam serta hak bukan Melayu, boleh menimbulkan ketegangan kaum di
negara ini.
"Kita mesti elak itu daripada berlaku kerana ia tidak menguntungkan
sesiapa dan akta ini juga melindungi hak bukan Melayu dan bukan Islam,"
kata Najib.
Perdana Menteri berkata keputusan mengekalkan akta itu bukan langkah
terkebelakang oleh kerajaan kerana langkah menjulang demokrasi telah
dilaksanakan sebelum ini dengan memansuhkan beberapa akta termasuk Akta
Keselamatan Dalam Negeri pada 15 Sept 2011.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan