Apakah hasil Perhimpunan Agung UMNO 2014 perolehi? Jawapannya semua tahu. UMNO tetap sama…sama keadaannya seperti sebelum Perhimpunan Agung itu. Kalau ada pun hasilnya ia tidak begitu diminati oleh rakyat yang tidak suka dan gemar dengan Akta Hasutan 1948 di kekalkan. Ya, itu sahaja perbezaan di antara sebelum dan selepas Perhimpunan Agung itu.
Selain dari itu UMNO tetap UMNO
sebelum Perhimpunan Agung dahulu. Ia masih memainkan isu yang boleh menyatukan
ahli-ahli UMNO walaupun buat seketika walau seburuk mana pun isunya. Selepas
Perhimpunan perwakilan yang tidak tahu isu sebenar yang dihadapi oleh UMNO akan
balik kampung dan seperti yang saya sebut beberapa hari lepas, ‘business as
usual’.
Tidak ramai di antara perwakilan
itu balik ke kawasan masing-masing dengan memahami kenapa mereka mewakili UMNO
kawasan mereka ke Perhimpunan Agung itu dan apakah yang mereka perolehi yang
baik dari perhimpunan tahunan itu. Cuba kita tanya mereka apa yang
mereka sumbangkan dalam perhimpunan itu selain dari membaham karipap yang
disediakan oleh urusetia pusat UMNO itu?
Perhimpunan seperti itu pada
asasnya ialah bermatlamatkan untuk melihat apakah perbezaan yang menambah
kebaikan kepada parti itu, dengan perwakilan dan pemimpin yang berbaris duduk
di atas ‘high table’ di Dewan Merdeka itu lakukan.
UMNO yang sepatutnya menumpukan
untuk menambah keyakinan terhadap kepimpinan yang sedang menghadapi krisis
keyakinan yang amat kritis itu. Isu ekonomi tidak langsung disentuh oleh
Presiden parti dalam ucapan dasar Presiden dan itu amat pelik sedangkan itulah
masalah dan isu terbesar yang dihadapi oleh UMNO dan kepimpinan kita.
Isu rasuah tidak dapat
dibangkitkan dengan baik dan tidak ada perwakilan yang mengupas itu dengan
teliti sedangkan imej rasuah yang sedang melekat dan bergayut kepada kepimpinan
negara yang kebanyakannya adalah dari UMNO tidak hilang-hilang lagi, malahan
bertambah kuat lagi.
Yang membuat masalah kepada
negara adalah kepimpinan UMNO yang duduk diatas ‘high table’ itu. Jika
keadaannya sama, maka UMNO tidak boleh berharap yang kejayaan mereka akan pasti
dalam pilihanraya yang akan datang, kerana rakyat dan dikalangan ahli-ahli UMNO
sendiri tidak berpuas hati dengan hasil perhimpunan itu.
Saya bertanya kepada salah
seorang perwakilan perhimpunan itu tentang hasil perhimpunan yang begitu
mendapat liputan meluas itu. Beliau menjawab, “tak ada apa-apa, setakat
menghabiskan karipap sajalah bang! Rasanya sudah malas hendak bergiat lagi
sebabnya ia hanya untuk kepentingan pimpinan sahaja...dibawanya kita dibawah ni
bersorak dan bertepuk sahaja”.
Tidak ada suara yang bercakap
secara betul tentang isu-isu ekonomi. 1MDB tidak diberikan penjelasan secara
teliti dan isu pendidikan langsung tidak ada pencapaiannya. Malahan perwakilan
Kelantan sahaja yang berkata yang ada pihak yang cemburukan tentang kejayaan
1MDB. Entah apa yang dicemburui oleh sesiapa yang mempunyai pemikiran dan
kefahaman sedikit sebanyak tentang 1MDB ini pun tidak siapa yang tahu. Apa
sebabnya orang cemburu dengan syarikat pelaburan kerajaan yang hanya boleh
disertai oleh mereka yang berkesanggupan untuk mengalami kerugian besar sahaja
yang boleh bersama dengan 1MDB itu.
Tidak ada apa-apa isu yang boleh
membawa ‘consequence’ besar terhadap parti itu dalam perhimpunan agung itu,
hanya setakat melihat pemimpin utamanya berucap bergegar-gegar dengan genggaman
tangan yang kuat untuk menambahkan senario pembohongan yang sedang mereka lakukan
terhadap ahli-ahli UMNO dan rakyat keseluruhannya.
Yang kita tahu kita masih dalam
genggaman pemimpin yang gila dengan kuasa dan sifat lahap yang tidak terkawal
sahaja. Bagi mereka semuanya bersalah kecuali mereka sahaja. Jika kita lihat
kerajaan kita begitu lemah, ia adalah disebabkan oleh kita semua, bukannya oleh
kerana kelemahan pimpinan mereka.
Jika ada perselisihan faham
di antara rakyat berbilang kaum, ia disebabkan oleh kita, bukannya oleh
kelembapan pimpinan mereka. Jika negara sarat dengan rasuah itu kerana kesalahan
kita, pemimpin kita tidak rasuah dan akan membawa negara kearah negara maju dan
berpendapatan tinggi, walaupun sudah ramai rakyat yang sedang bergelumang dalam
kesusahan untuk mengharungi kehidupan yang kian menyempit mereka.
Melebarnya jurang pendapatan
di antara segelintir rakyat dengan rakyat yang ramai itu adalah kesalahan kita
semua. Ia bukannya kerana sifat pemimpin kita yang mengamalkan budaya kronisma
dan nepotisma.
Tidak diberitahu bagaimana kah
Najib hendak mentadbir negara dengan kejatuhan harga minyak ketahap USD70
semalam sedangkan Najib hanya tahu menghadap rakyat sahaja apabila berdepan
dengan keadaan ini. Bila pula cukai-cukai lain hendak dikenakan kepada rakyat
kerana isu penurunan harga minyak ini bukan satu isu kecil.
Yang kaya-kaya hanyalah mereka
yang berada di ‘corridor of power’ dan itu pun salah kita semua, kenapa tidak
mengampu dan berkhemah di pejabat menteri-menteri dan mereka yang berkuasa.
Menghapuskan subsidi bahan bakar
itu pun salah rakyat. Subsidi bahan bakar yang diberikan kepada industri tidak
dihapuskan tetapi subsidi terhadap rakyat ditarik balik. Itu pun salah kita.
Semuanya salah kita dan pimpinan UMNO yang mengaku bijak itu tetap tidak
bersalah.
Bagaimana hendak menyalahkan
pimpinan UMNO, kerana mereka berada
diatas itu bukannya tahu apa-apa. Kita tidak boleh menyalahkan kepada mereka
yang tidak tahu apa-apa kerana ‘ignorance is not a crime’. Begitu juga
‘stupidity is not a crime’.
Tetapi kita masih bernasib baik.
Kita masih mempunyai tanah terbiar yang luas. Rakyat marhein boleh mulakan
menanam ubi kayu sebagai ganti ‘staple food’ kita apabila negara kita jatuh
merudum nanti.
Apa nak ditakutkan, bukankah
datuk nenek kita biasa dengan makan ubi semasa pemerintahan Jepun dahulu? Jika
Jepun membuatkan datuk nenek kita makan ubi, kenapa kita bermasalah jika UMNO akan
membuatkan generasi kita makan ubi sebagai pengganti beras hancur yang sedang
dimakan rakyat biasa dibawah-bawah ini?
Yang pentingnya mereka yang
berada diatas ‘high table’ di Dewan Merdeka itu kenyang dan senang lenang
dengan memerah keringat rakyat biasa yang serba miskin sekarang ini. Walau
bagaimana pun kita tunggu ucapan penangguhan pemimpin-pemimpin kita petang ini
dahulu. Manalah kita tahu, mungkin ada yang baik kita akan dengar.
Kepada perwakilan UMNO diucapkan
kembali ke kampung dengan selamat. Jangan memandu terlalu laju, elakan
kemalangan dijalanraya. Terima kasih banyak-banyak kerana bertepuk dengan
bergegar-gegar selama 5 hari berada di ibu kota. Bukannya tidak letih bertepuk dalam
dewan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan