MALAYSIAKINI
Kerugian pracukai Malaysian Airline System Bhd (MAS) untuk suku ketiga
berakhir 30 September2014 meningkat kepada RM572 juta berbanding
kerugian sebelum cukai RM370 juta suku sama tahun lepas.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat penerbangan negara itu
berkata pendapatannya merosot kepada RM3.38 bilion daripada RM3.90
bilion sebelum ini.
Syarikat itu berkata kesan insiden MH370 dan MH17 serta persaingan
sengit berterusan menyebabkan penurunan faktor tempat duduk sebanyak
11.5 mata peratusan kepada 73 peratus.
Untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept 2014, kerugian pracukai
melonjak kepada RM1.31 bilion daripada kerugian pracukai berjumlah RM815
bilion dalam tempoh sama setahun dahulu.
Pendapatannya menyusut kepada RM10.57 bilion daripada RM11.22 bilion sebelum ini.
MAS berkata ia terus mengalami kesukaran sekalipun pelbagai usaha
dilaksana untuk mengurangkan bebanan kewangan dan kejatuhan harga minyak
membantu mengekang kerugian.
"Sesetengah pasaran terutama China kekal menjadi cabaran untuk kembali ke paras sebelumnya.
"Bagaimanapun kami gembira dengan pemulihan di pasaran-pasaran lain
seperti yang dicerminkan menerusi peningkatan penerimaan tempahan dalam
seluruh sistem berbanding tahun sebelum ini," kata syarikat itu.
Sementara itu, Khazanah Nasional Bhd berkata terdapat kemajuan di semua
peringkat dalam rancangan penstrukturan semula Malaysia Airlines (MAS),
di bawah Pelan Pemulihan MAS (MRP) yang menyeluruh dengan 12 perkara
bagi tempoh lima tahun seperti yang diumumkan pada 29 Ogos.
Khazanah dalam satu kenyataan semalam, mengumumkan kemajuan perkembangan pertamanya berhubung MRP.
Cabang pelaburan kerajaan itu berkata ia akan terus memaklumkan
perkembangan terkini setiap tiga bulan kepada semua pihak
berkepentingan, terutama orang ramai, mengenai kemajuan penyusunan
semula berkenaan.
"Penstrukturan semula MAS berjalan lancar dengan beberapa kejayaan utama
dicapai dan beberapa kemajuan lagi dijangka pada suku akan datang,
khususnya menjelang akhir tahun," kata Pengarah Urusannya Tan Sri Azman
Mokhtar.
Khazanah berkata keseluruhan kemajuan telah dicapai merangkumi empat
bidang utama MRP iaitu rangka kerja tadbir urus dan kewangan, model
perniagaan operasi, kepimpinan dan modal insan, serta kawal selia dan
persekitaran sewajarnya.
Antara lain ia menyatakan, Pejabat Pengurusan Penstrukturan Semula MAS dengan hampir 50 kakitangan kini beroperasi sepenuhnya.
Setakat ini, 29 sesi mesyuarat telah diadakan dengan kakitangan MAS
untuk mendapatkan maklum balas dan memaklumkan kepada mereka mengenai
pelbagai inisiatif penstrukturan semula itu.
Ini turut diperkukuhkan lagi dengan usaha jangkauan yang lebih luas, yang dijalankan oleh pengurusan MAS.
Mengenai cadangan penyahsenaraian, Khazanah berkata pemegang saham
minoriti MAS sudah meluluskan cadangan bagi pengurangan modal terpilih
dan proses pembayaran balik semula (SCR) seperti diputuskan pada
mesyuarat agung luar biasa.
"SCR dijangka selesai pada 3 Disember 2014, sementara menunggu kelulusan Mahkamah Tinggi," katanya.
Penyahsenaraian ini merupakan antara syarat bagi penstrukturan semula
keseluruhan MRP dan pembiayaan modal pelaburan sebanyak RM6.0 bilion.
Dengan penyahsenaraian ini, tranche pertama suntikan modal bersyarat
Khazanah berjumlah sehingga RM2.0 bilion, akan diagihkan bagi pembayaran
semula kepada pemegang saham minoriti, dan juga untuk modal kerja serta
perbelanjaan penstrukturan semula.
Khazanah berkata syarikat baru untuk menggantikan MAS, Malaysia Airlines
Bhd, diperbadankan pada 7 November dan dijangka beroperasi menjelang 1
Julai 2015.
Rang Undang-Undang Malaysian Airline System Berhad (Pentadbiran) 2014
telah dibentangkan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 27 November.
Rang Undang-undang itu dijangka dibentangkan di Dewan Negara pada sesi akan datang pada Disember 2014, katanya.
Khazanah dijangka membuat pengumuman penting tentang kepimpinan Malaysia Airlines Bhd menjelang akhir tahun.
Ia juga berkata proses penilaian tenaga kerja di MAS untuk mengenal
pasti pekerja yang diperlukan oleh Malaysia Airlines Bhd, dianggarkan
14,000 pekerja, sedang dilaksanakan.
Sementara itu, kerangka kerja bagi cadangan Pusat Latihan Semula
Korporat dan Pusat Penempatan Semula, sudah diwujudkan dan disasarkan
untuk pelancaran pada 1 April 2015.
Menurut Khazanah, Terma Rujukan Panel Perundingan Pekerja (ECP) telah dirangka.
ECP akan mengadakan mesyuarat pertamanya pada awal Disember 2014.
Kajian semula yang komprehensif bagi semua kontrak, kini berjumlah 5,000 sedang dilaksanakan.
Keutamaan diberikan kepada kontrak yang berpotensi menyediakan peluang
pengurangan kos yang signifikan dan peningkatan kecekapan.
Selain itu, garis panduan yang dikaji semula untuk memasuki kontrak baru
dan pembaharuan kontrak juga sedang dilaksanakan manakala persiapan
juga sedang dilakukan bagi meneliti had pihak berkuasa bagi pemberian
kontrak.
Khazanah berkata terma dan syarat Jawatankuasa Tadbir Urus dan Etika (GEC) telah dirangka.
Ia dijangka beroperasi selepas selesainya proses penyahsenaraian MAS dan akan mempunyai tempoh sah antara tiga dan lima tahun.
Pemindahan tenaga kerja dari Subang ke Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA) dijadualkan bermula pada suku kedua 2015.
Langkah itu pada awalnya dirancang bermula tahun ini tetapi ditangguhkan
bagi memastikan pekerja MAS yang tidak berkhidmat dengan Malaysia
Airlines Bhd tidak akan dibebani tanpa sebab apabila terpaksa berpindah
ke KLIA.
Sementara itu, kerja-kerja pengubahsuaian di Bangunan Kemudahan Sokongan
dan rancangan pengubahsuaian hangar kejuruteraan di KLIA telah bermula.
Tanah bagi pembangunan ibu pejabat Malaysia Airlines Bhd telah dikenal
pasti.
Menurut Khazanah, ramai individu dengan kepakaran dan pengalaman
berkaitan telah secara sukarela menemuinya untuk menjadi sebahagian
daripada penstrukturan semula itu.
Setakat ini, banyak curriculum vitae (CV) telah diterima dan permohonan
diteliti, dengan beberapa pihak bersedia untuk menyertai usaha
penstrukturan semula itu.
Khazanah juga menerima tidak kurang daripada 28 cadangan perniagaan yang menyatakan minat untuk menyertai atau melengkapi MRP.
"Kami ingin menyatakan bahawa seperti yang ditetapkan proses operasi dan
prosedur Khazanah, hanya cadangan yang berwibawa dinilai dan diteliti,"
katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan