MALAYSIAKINI
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, cakera
digital dan buku berkaitan agama Kristian yang dirampas di KLIA2 pada 25
Oktober lalu akan dipulangkan semula pada pemiliknya.
Katanya, KDN berpendapat bahawa kesemua 574 buah buku, 419 keping CD dan
5 keping DVD itu patut dipulangkan semula kepada pemiliknya.
Tegasnya, rampasan itu dibuat oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia bukannya oleh Kementerian Dalam Negeri.
"Bahan itu datang dari Indonesia, transit di KLIA untuk dibawa ke Sabah.
Bahan itu untuk kegunaan di Sabah. Maka KDN berpendapat bahan-bahan itu
patut dipulangkan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan seminar
'Jihad vs Militan. Perkembangan Pemikiran Militan di Malaysia: Trend dan
Cabaran Semasa' di Kuala Lumpur hari ini.
Laporan semalam menyebut, bahan penerbitan berkenaan yang mengandungi
kalimah 'Allah' itu dirampas kerana timbul “keadaan syak” apabila
penerbitan berkenaan diturunkan ke terminal utama KLIA2.
Ini kerana, bahan tersebut dibawa turun ke terminal utama dan tidak dipindahkan terus ke pesawat seterusnya bagi tujuan transit.
Tindakan itu juga dibuat memandangkan pembawa menyatakan penerbitan
berkenaan adalah kegunaan sendiri tetapi dinyatakan kemudiannya ia
adalah bagi kegunaan gereja di Sabah.
Buku, CD dan DVD yang ditahan telah diserahkan kepada pihak KDN pada 27
Oktober 2014 dan surat penahanan bagi tujuan kajian dan semakan
dikeluarkan melalui surat bertarikh 27 Oktober 2014, katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan