MALAYSIAKINI
Pemuda Gerakan mengesahkan laporan bahawa kumpulan di kalangan anggota
jawatankuasa kerjanya (CWC) meletak jawatan beramai-ramai.
Ketua pergerakan itu, Tan Keng Liang berkata, beliau menerima lima peletakan jawatan setakat ini.
Katanya, beliau terkejut kerana ada media yang melaporkan seramai lapan pemimpinnya meletak jawatan.
“CWC Pemuda Gerakan akan meneliti perkara itu dalam mesyuarat kami pada
Selasa malam. Keputusan akan dibuat mengenainya,” kata Tan kepada
Malaysiakini.
Katanya, beliau mengarahkan setiausaha agung, William Chang untuk
menyiasat peletakan jawatan berkenaan dan menyediakan laporan untuk
dibincangkan.
Beliau bagaimanapun enggan menamakan individu yang sudah mengemukakan surat peletakan jawatan mereka.
Tan berkata, nama tersebut hanya akan didedahkan selepas surat berkenaan dapat disahkan.
Laporan The Sun hari ini melaporkan naib ketuanya Clarence Lee,
bendahari agung Adrian Ong Ching Woo, timbalan bendahari agung Chan Tzun
Hei, dan anggota jawatankuasa pusat Ivanpal Grewal Singh mengemukakan
peletakan jawatan mereka.
Turut didakwa meletak jawatan adalah dua timbalan setiausaha agung Allan
Tang Luan Kang dan Ooi Zhi Yi, serta dua ketua biro Chong Chee Yen dan
Chia Gim Tiong.
Laporan memetik sumber yang tidak dinamakan itu menyebut, peletakan
jawatan berkenaan ekoran pertentangan pendapat berhubung kepimpinan Tan.
No comments:
Post a Comment