MALAYSIAKINI
MP Petaling Jaya Utama Tony Pua mempersoalkan penjelasan perdana menteri
berhubung tanggungjawab kerajaan ke atas jaminan hutang 1Malaysia
Development Berhad (1MDB).
Menurut Pua, Datuk Seri Najib Razak tidak menjawab sepenuhnya persoalan
sama ada hutang 1MDB, yang kini mencecah hampir RM37 bilion ditanggung
oleh pembayar cukai.
Beliau
membangkitkan persoalan itu dengan merujuk kepada isu surat sokongan
yang dikeluarkan kerajaan bagi mendapatkan dana 1MDB.
Menurutnya, Najib hari ini menyatakan bahawa kerajaan hanya menjamin sejumlah RM5.8 billion dari hutang 1MDB.
"(Jawapan itu) tidak melibatkan satu surat sokongan yang dikeluarkan
oleh kerajaan kepada 1MDB Global Investment untuk mendapatkan pinjaman
bernilai RM9.5 bilion, Mac tahun lalu," katanya.
Kenyataannya dalam sidang media di bangunan parlimen hari ini merujuk
kepada jawapan bertulis Najib, yang juga menteri kewangan kepada MP
Bagan, Lim Guan Eng.
Perbezaan semantik
Pua berkata surat itu didedahkan dalam satu laporan akhbar mingguan bisnes The Edge pada hari Sabtu lalu.
Menurut laporan itu, surat berkenaan menjelaskan bahawa kerajaan akan
membayar sekiranya 1MDB gagal memenuhi tuntutan kewangannya.
"Surat
sokongan itu secara jelas menjamin pinjaman itu. Perbezaan antara
jaminan dan surat sokongan hanyalah semantik semata," kata beliau.
Beliau menambah bahawa walaupun jaminan kerajaan direkodkan dan
diletakkan dalam laporan, surat sokongan tidak akan dimasukkan dalam
rekod.
Pua seterusnya membandingkan isu berkenaan dengan skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Katanya, kenyataan oleh peguam negara dalam siasatan Jawatankuasa
Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesahkan surat sokongan menteri dan
kerajaan adalah sama seperti jaminan.
Kerajaan tanggung hutang?
"Dalam kes ini, kita tahu dari kira-kira RM37 bilion hutang 1MDB,
sekurang-kurangnya RM15.4 bilion telah dijamin kerajaan," kata beliau.
Justeru, beliau menuntut agar Najib menyatakan dengan jelas sekiranya kerajaan tidak akan membayar kembali hutang 1MDB itu.
Dalam jawapannya hari ini, Najib antara lainnya mempertahankan kedudukan
kewangan 1MDB dan kedudukan kewangan syarikat itu juga didakwa masih
kukuh.
Najib juga berkata, sebagai syarikat liabiliti terhad, hal kewangan 1MDB
tidak dimasukkan dalam kiraan liabiliti kerajaan, sebaliknya
tanggungjawab syarikat itu sendiri.
No comments:
Post a Comment