Ramesh Rao ketika diwawancara Sinar Harian Online di pejabatnya, Petaling Jaya, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh NIZAM ZAIN
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digesa mempertimbangkan semula hasratnya untuk melantik pemimpin MCA sebagai menteri dalam Kabinet selepas BN memenangi PRK Teluk Intan bulan lalu.
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao mendakwa pemimpin MCA tidak layak menggalas tugas penting itu memandangkan parti itu pernah mengkhianati BN dengan tidak bertanding dalam PRK Bukit Gelugor baru-baru ini.
"Mereka tiada keyakinan dan menghina penyokong BN di Bukit Gelugor dan Ini satu tamparan hebat, kalau di Bukit Gelugor pun tidak berani bertanding, bagaimana hendak menjadi menteri dalam Kabinet.
"Kita perlukan pejuang, kita perlukan pendekar yang boleh mengembalikan maruah parti, kita tidak perlukan pengecut," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Pada bulan lalu, MCA tidak bertanding pada PRK Bukit Gelugor dengan alasan mahu menumpukan perhatian kepada menentang pelaksanaan undang-undang hudud.
Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ong Ka Chuan, keputusan itu juga dicapai selepas mengkaji senario politik dan selepas berunding dengan ahli-ahli parti mengenai perkara itu.
Dalam pada itu, sepanjang PRK Teluk Intan pada bulan lalu, PMSP merupakan antara NGO bersama jentera BN berkempen, melihat sendiri kurangnya penglibatan MCA dalam membantu memenangkan calonnya dari Gerakan, Datuk Mah Siew Keong.
"Kalau MCA mendabik dada kononnya mereka berusaha keras, semua itu menipu sebab undi tambahan kita dapat cuma 71 undi sahaja melalui perbezaan pilihan raya lalu dengan PRK Teluk Intan.
"Saya minta PM lantik mereka yang berwibawa contohnya wakil dari IPF, Datuk Nallakarupan harus diberi jawatan sebab sumbangannya di Teluk Intan jelas dapat dilihat," katanya.
Ditanya sama ada parti komponen BN kini semakin lemah, beliau menegaskan perikatan itu masih relevan namun pucuk kepimpinan diremajakan semula dengan segera.
"Komponen bukan lemah, hanya pucuk kepimpinan saja lemah kerana tidak berani bersuara, tidak berani menjawab, gagal menjawab, gagal menepis tohmahan pembangkang.
"Pemimpin veteran perlu beri laluan kepada generasi muda untuk mengambil alih parti," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment