oleh Haris Zuan
Saya ingin merujuk kenyataan Timbalan Presiden ISMA, Tuan Haji Aminuddin Yahaya sebagaimana yang dipetik dalam Malaysiakini, ISMA dakwa Kit Siang mahu hapuskan Melayu yang menasihatkan pemimpin DAP, Lim Kit Siang agar tidak berpura-pura dan berselindung di sebalik topeng ke’Malaysia’annya. Beliau juga dilaporkan berkata;
“Hakikatnya dia ingin menghapuskan bangsa Melayu, bahasa Melayu dan kebudayaan Melayu. Sejak tahun 60-an lagi dia sudah menolak Melayu,”
ISMA bukan yang pertama melakukan propaganda untuk menjadikan DAP dan pemimpinnya termasuk Kit Siang sebagai momok kepada masyarakat Melayu, saya juga yakin, ISMA bukan yang terakhir, selagi UMNO-Barisan Nasional berkuasa.
Aminuddin juga dilaporkan berkata berdasarkan perlembagaan DAP yang menumpukan sosialisme, jelas DAP anti-Islam. Hujah ini merupakan hujah paling dangkal yang pernah saya dengar.
Ideologi DAP Sosial Demokrat, bukan Sosialisme
Pertamanya, jelas ISMA gagal membezakan antara sosialisme dan sosial demokrat. Ideologi sosial demokrat ini bukan agama tetapi satu cara pandang terhadap tata kelola pembangunan ekonomi dan sosial. Berbanding dengan Sosialisme, Sosial demokrasi adalah satu pandangan yang menolak monopoli negara (state) dalam semua urusan ekonomi dan sosial. Pada masa yang sama, Sosial Demokrat juga berbeza dengan ideologi liberal yang menyerahkan semua urusan ekonomi dan sosial kepada pasaran (market) – atau yang biasa disebut laissez faire.
Sosial Demokrat adalah jalan tengah. DAP percaya bahawa negara harus campur tangan dalam urusan kebajikan rakyat, contohnya dalam soal pendidikan, kesihatan dan keperluan asas dan dalam masa yang sama mesra kepada pasaran. Dasar ini adalah selari dengan Negara Kebajikan yang diperjuangkan oleh PAS dan Pakatan Rakyat secara umumnya.
DAPSY Bukit Bendera sedia mengaturkan satu kuliah ideologi politik oleh ahli akademik berwibawa kepada ISMA jika mereka masih gagal membezakan antara kedua ini.
Setiap parti politik yang ingin memerintah sesebuah kerajaan harus mempunyai ideologi pembangunan yang jelas. Maka, adalah lebih baik bagi ISMA untuk mempersoalkan, apakah ideologi atau perspektif ekonomi dan pembangunan yang digunapakai oleh UMNO-Barisan Nasional?
DAP atau UMNO yang mahu hapuskan kaum Melayu, bahasa Melayu dan kebudayaan Melayu?
Tuduhan ektream berniat jahat ini bukan sahaja tidak berlandaskan fakta sejarah, malah pada pihak yang salah. Pihak yang selama ini memperleceh dan meremehkan soal kebudayaan Melayu, tidak lain adalah UMNO.
Siapakah yang merampas Utusan Melayu yang sebelumnya merupakan akhbar kebangsaan yang bebas dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat dan kebudayaan Melayu, sehingga berlaku Mogok Utusan 1961? Sehingga kini, Utusan tidak lagi terhormat dan hanya menjadi bahan propaganda Kerajaan Barisan Nasional? DAP atau UMNO?
Siapakah yang meremehkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dengan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah? DAP atau UMNO?
Siapa yang bertanggungjawab menafikan royalti minyak kepada negeri Kelantan yang 95 peratusnya adalah orang Melayu? DAP atau UMNO?
Siapa yang menulis buku Revolusi Mental dan Dilema Melayu yang jelas menghina peribadi bangsa dan kebudayaan Melayu dengan menuduh bangsa Melayu sebagai bangsa yang lemah dan tiada berdaya maju? DAP atau UMNO?
ISMA hanya memalukan orang Melayu
Hakikatnya, ISMA tidak berminat untuk memperjuangkan Melayu di negara ini. ISMA bukan sahaja cuba menggagalkan agenda pembentukan bangsa Malaysia yang digagaskan oleh Dr Mahathir melalui Wawasan 2020 yang tinggal kurang 6 tahun daripada sekarang, malah seringkali tindakan ISMA itu hanya memalukan orang Melayu di negara ini.
Pada saat rakyat di negara ini – tidak kira latar kaum – berdepan dengan kesengsaraan ekonomi akibat dasar UMNO-Barisan Nasional, ISMA sibuk dengan agenda perkaumannya. Apakah sikap dan tindakan ISMA dalam kenaikan kos hidup, beban isi rumah rakyat, kualiti pendidikan negara yang merosot, jurang sosial dan ekonomi yang melebar yang bukan sahaja memberi kesan kepada kebanyakan orang Melayu, malah seluruh negara?
Jika ISMA tiada jawapan atau sikap yang jelas dalam isu ini, eloklah ISMA diam daripada terus memalu dan membodohkan orang Melayu dan rakyat Malaysia. Kami cukup bosan dan lelah dengan UMNO-BN, ISMA jangan tambah lelah kami. -Roketkini.com
(*) Haris Zuan, Ketua Pemuda DAPSY Bukit Bendera
No comments:
Post a Comment