MALAYSIAKINI
Tasik Putrajaya akan menjadi antara lokasi yang berkemungkinan dipilih
sebagai sumber air bagi para pengguna sekitar Lembah Klang sekiranya
paras empangan air di sekitarnya berada di tahap kritikal ekoran
fenomena El-Nino yang dijangka berlaku hujung bulan ini.
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir
Khalid berkata, selain itu, tasik lain seperti di Mines, Seri Kembangan
dan beberapa lokasi turut terpilih sekiranya Kementerian Kesihatan
mengesahkan tasik-tasik berkenaan selamat untuk digunakan.
Beliau menjelaskan, alternatif itu merupakan antara beberapa cadangan
yang akan dikemukakan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa El-Nino
dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
pada 30 Jun ini.`
"Selain itu, kita berhasrat untuk menggunakan sumber air bawah tanah
bagi menampung keperluan air sama ada domestik atau industri yang
terjejas akibat musim kemarau.
Jawatankuasa El-Nino itu perlu terlebih dahulu mendapatkan data paras
empangan di seluruh negara sebelum membuat sebarang keputusan," katanya
dalam sidang akhbar selepas melancarkan majlis pembukaan rasmi Hotel
Tune KLIA2 di Sepang hari ini.
Ketika ditanya sama ada kemungkinan catuan air berulang kembali, Mahdzir
berkata, pihaknya perlu mendapat penjelasan Jabatan Meteorologi
berhubung perubahan monsun barat daya pada minggu kedua Julai ini.
Katanya, fenomena cuaca panas yang berlaku sejak minggu lalu bukan
berpunca daripada El-Nino tetapi disebabkan oleh Monsun Barat Daya dari
Lautan Hindi.
"Pada minggu kedua bulan hadapan, kita akan lihat sama Monsun Barat Daya
telah beralih daripada Lautan Hindi kepada Lautan Pasifik dan jika
berlaku, maka fenomena El-Nino telah melanda.
Fenomeno El-Nino mendatangkan cuaca panas berpanjangan bakal memberi
impak cukup besar pada negara dengan melibatkan lima sektor iaitu
domestik, pertanian, industri, janakuasa eletrik dan kesihatan,"
katanya.- Bernama
No comments:
Post a Comment