KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) diharapkan tidak memikirkan soal politik semata-mata, sebaliknya meletakkan kepentingan rakyat dan negara untuk bersama-sama mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad Shah, yang menyokong penuh gesaan untuk mengemukakan undi tidak percaya itu, berkata terlalu banyak isu kritikal yang melanda negara, namun tidak dapat diselesaikan sebaiknya oleh Najib.
"Kalau PM tidak sanggup memainkan peranan dalam menyelesaikan segala isu kritikal di negara ini, termsuk isu kalimah Allah, kenaikan harga barang dan pelbagai krisis lain, eloklah jika kita mencari ganti Perdana Menteri bagi memastikan kapal kita memiliki nakhoda yang benar-benar ada hala tujunya," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.
Sehubungan itu, katanya Ahli Parlimen BN perlu sedar dan berani untuk bersama-sama menyokong usaha untuk mengemukakan undi tidak percaya ini demi masa depan negara dan generasi akan datang.
Kelmarin, Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mengajak ahli parlimen BN bersama-sama mengemukakan undi tidak percaya atas kegagalan Najib mentadbir negara ini dengan lebih baik.
Mahfuz, dalam kenyataannya semalam berkata usul tidak percaya itu wajar dilakukan demi kepentingan negara dan rakyat, di mana negara tidak mampu lagi mempunyai PM 'kangkung'.
Sementara itu, saranan tersebut turut disokong sepenuhnya oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang berpandangan terdapat banyaknya salah laku yang dilakukan Najib sepanjang tempoh pentadbiran beliau.
Katanya, dengan pelbagai masalah rakyat yang tidak dapat diselesaikan, selain skandal dan kontroversi tanpa henti membabitkan kedudukan dan hak istimewa isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor memang sewajarnya Najib digantikan.
"Semestinya saya sokong kerana telah jelas banyak kontroversi sejak Najib menatdbir negara ini dengan salah laku urus tadbir, selain kedudukan dan hak istimewa isterinya, Rosmah yang tidak sewajarnya diterima.
"Sebelum ekonomi negara ini semakin teruk, eloklah digantikan Perdana Menteri yang baru yang boleh berperanan dan berkhidmat untuk rakyat dn negara," tegas Khalid.
Sebelum ini, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menyarankan agar bekas PM, Tun Mahathir Mohamad dilantik ke kabinet Malaysia.
Saranan itu seolah-olah memperlihatkan bahawa ahli kabinet yang sedia ada tidak mampu menangani dan mentadbir negara sehingga memerlukan Mahathir untuk bersama-sama membantu kabinet Najib.
Zainuddin yang melontarkan idea tersebut di blognya berkata, pengalaman lebih 20 tahun Mahathir dalam memimpin negara dan mengendalikan soal keselamatan dengan jayanya, tidak seharusnya dibazirkan begitu saja oleh Najib.
Katanya, cadangan ini bukannya untuk mengembalikan Mahathir kepada kedudukan kerusi Perdana Menteri tetapi perlu diberikan kuasa dalam kabinet untuk membantu Perdana Menteri dan kerajaan dalam menangani isu keselamatan, perkauman, agama dan ekonomi yang kian meruncing sekarang
No comments:
Post a Comment