SHAH ALAM – Himpunan Turun bagi membantah kenaikan kos sara hidup pada sambutan ambang tahun baru lalu yang disertai majoriti anak-anak muda bukti golongan itu peka bukan saja pada nasib diri sendiri malah masa depan rakyat.
Menurut penganalisis politik, Dr Maszlee Malik, ia sesuatu yang boleh dibanggakan ekoran anak-anak muda tidak hanya memikirkan nasib diri sendiri sahaja.
“Jadi, dalam Turun, anak muda ini lebih menyuarakan isi hati mereka. Kalau mereka tidak hadir pada himpunan itu, kita tahu mereka akan menghadiri konsert.
“Tapi kita lihat di satu tahap, anak muda kita mula peka terhadap nasib mereka dan juga masa depan rakyat secara majoritinya," katanya kepada Sinar Harian Online.
Beliau yang merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjelaskan, melalui media sosial seperti Twitter dan Facebook membolehkan anak muda mudah difahami.
Katanya, penglibatan mereka dalam himpunan tersebut hanya untuk menyatakan bantahan kenaikan harga barang.
“Melalui dunia media sosial, kita boleh fahami pemikiran dan juga trend dalam kalangan anak muda. Mereka yang turun itu risaukan realiti yang berlaku ini menjejaskan kualiti hidup mereka dan masa depan.
“Apa yang akan berlaku? Kos yang meningkat tapi gaji tidak meningkat. Ia memberikan suatu kesengsaraan kepada orang-orang muda,” katanya.
Dalam menangani soal peningkatan kos sara hidup, beliau tidak menolak dakwaan orang muda boleh bekerja lebih daripada satu pekerjaan untuk mendapat pendapatan lebih.
“Mungkin orang kata, orang muda boleh berusaha lebih dan sebagainya. Betul, mereka boleh bekerja lebih daripada satu pekerjaan untuk mendapatkan pendapatan lebih tapi mereka akan hilang fokus.
“Apabila hilang fokus, apakah nilai kepada profesionalisme yang sepatutnya kita nak lahirkan?,” soalnya.
Beliau menambah, rakyat Malaysia mempunyai amalan demokrasi yang amat tinggi.
Mengambil contoh dalam pilihan raya lepas, Mazlee berkata, suara majoriti lebih berpihak kepada pembangkang, namun, sistem sedia ada tidak membenarkan pihak yang dapat undi popular memerintah, sebaliknya peluang kepada pihak yang menang kerusi Parlimen tertinggi.
“Di tahap itu pun, rakyat kita boleh terima, jadi, tahap kesabaran dan kematangan rakyat kita tak boleh dipandang remeh atau diperlekehkan.
“Oleh itu, sebarang tuduhan bahawa golongan yang tidak berpuas hati turun untuk mengguling dan sebagainya, saya rasa tidak selari dengan realiti,” katanya.
No comments:
Post a Comment