Saturday, January 4, 2014

Selangor tidak perlu rujuk kerajaan pusat, kekal cemerlang dua penggal memerintah

Oleh : Lizawati Madfa


SHAH ALAM : Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor sentiasa mendahulukan rakyat dengan pelbagai program kebajikan dan tidak perlu untuk mencontohi kerajaan pusat yang sudah memasuki penggal kedua pentadbiran.

Sebaliknya Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie, berkata kerajaan pusat yang seharusnya menjadikan idea PR sebagai rujukan terutama dalam soal mengurangkan beban rakyat yang semakin meruncing.

shuhaimi shafie

Walaupun kerajaan pusat mengumumkan 11 langkah penjimatan, Shuhaimi berkata, ia masih tidak memadai untuk membantu secara langsung dalam usaha meringankan beban yang terpikul berat di bahu rakyat.

“Kerajaan pusat perlu menggaris dan melaksanakan penjimatan yang lebih meluas, contohnya mereka yang tidak ada kaitan dalam kerajaan jangan dibenarkan menggunak harta dan wang rakyat dengan sewenang-wenangnya.

“Seperti Rosmah Mansor, jangan biarkan dia menggunakan pesawat peribadi atas kapasiti sendiri yang tidak ada jawatan dalam kerajaan melainkan atas lawatan rasmi bersama Perdana Menteri,” katanya.

Beliau dihubungi Selangor Kini bagi mengulas kenyataan Presiden Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin yang meminta kerajaan negeri mencontohi kerajaan pusat dalam mengurangkan perbelanjaan sektor awam.

Hamidzun juga berkata, kenaikan kos sara hidup adalah satu isu universal yang bukan hanya melanda Malaysia, maka kerajaan pusat tidak patut dipersalahkan.

Pada masa sama, Shuhaimi menyarankan bekas pemimpin PKR itu berhenti daripada menjadi boneka Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), GAPS.

“Selama ini, kononnya GAPS ingin membongkar penyelewengan PR di Selangor tetapi sehingga kini tidak sebarang bukti dikemukakan. Jadi, daripada jadi tin kosong baik bubarkan GAPS yang tidak berfungsi ini dan masuk sahaja Umno kerana lagi senang begitu,” katanya.-NFN-

No comments: