Sunday, January 5, 2014

Sambut 2014 bukan dengan azam baharu


Oleh RAYUSA 


TINJAUAN Merdeka Center mendapati populariti PM Dato’ Seri Mohd Najib Razak menjunam 10 mata menjadi 52 peratus dalam Disember dan merekodkan tahap paling rendah sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009.

Merdeka Center membuat tinjauan tersebut selepas pengurangan subsidi bahan bakar pada September lalu, pembentangan Bajet 2014 sewaktu kerajaan Umno-BN mengumumkan GST, dan kenyataan tambahan mengenai kenaikan tarif elektrik mulai 1 Januari 2014.

Tarif elektrik di Semenanjung Malaysia akan dinaikkan 14.89 peratus atau 4.99 sen setiap kilowat, menjadikan harga baharu untuk sekilowat ialah 38.53 sen. Harga semasa ialah 33.54 sen sekilowat (kwj). Di Sabah dan Labuan pula, kadar baharu naik 16.9 peratus atau 5 sen dari kadar semasa 29.52 sen/ kwj kepada 34.52 sen/kwj.

Pemilik hartanah di Kuala Lumpur juga bakal menghadapi kenaikan kadar cukai taksiran mulai Januari 2014 walaupun Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Tengku Adnan Mansor berdolak-dalik.

Bukan sahaja pemimpin Pakatan Rakyat dan para penyokongnya membantah kenaikan kos sara hidup. Mereka yang berada dalam kerajaan Umno-BN seperti Pemuda dan Puteri Umno; Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Dato’ Shahrir Samad, Dato’ Saifuddin Abdullah, dan Senator Ezam Mohd Noor turut menentang.

Tidak mustahil semua itu hanya “wayang”. Pemimpin Umno-BN kerap mencadangkan sesuatu yang mengundang protes rakyat, tetapi kemudian menentangnya untuk menunjukkan mereka prihatin dan dengan itu mendapat pujian.

Namun, dari segi lain yang penting dan menarik, bantahan oleh pemimpin dalam kerajaan Umno- BN sendiri menunjukkan betapa lemahnya pentadbiran Najib.

Kata Shahrir, kerajaan Umno- BN perlu mengotakan janjinya dalam manifesto PRU13. Perkara utama, kata Ahli Parlimen Johor Bahru itu, ada akujanji khusus untuk mengurangkan kadar tol dalam kawasan tersebut secara berperingkat-peringkat menjelang 2018.

Jadi, BBC berharap kerajaan Umno-BN menghalang pemegang konsesi daripada menaikkan kadar tol. Walau bagaimanapun, BBC berdolak-dalik dalam menyatakan sikap mereka atas kenaikan berkenaan kerana kerajaan Umno- BN masih belum mengesahkan perkara tersebut.

Tambah Shahrir, ia masih dibincangkan oleh kerajaan Umno- BN dan melihat keadaan semasa, tidak semua anggota BBC yang terdiri daripada Ahli Parlimen dari pelbagai kawasan sehaluan fikiran dalam perkara tersebut kerana bukan semua ada jalan bertol di kawasan masing-masing.

Menurutnya lagi, Ahli Parlimen yang mewakili kawasan sekitar Lembah Klang dan kawasan bandar utama lebih terjejas dengan kenaikan kadar tol. Ahli Parlimen yang menentang kenaikan kadar tol berpendapat sedemikian kerana isu pengurangannya menjadi modal untuk menarik sokongan pengundi dalam pilihan raya.

Tambahnya, dimaklumi bahawa langkah tidak menaikkan kadar tol bererti akan ada kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan Umno-BN. Kadar tol dijangka akan dinaikkan di antara 50 sen hingga RM2 mulai 1 Januari 2014.

Ezam menyelar penggubal dasar dalam kerajaan Umno-BN yang menurutnya mengambil langkah mudah menaikkan tarif elektrik untuk menyelesaikan “masalah mereka”, tetapi menyeksa rakyat.

Kata Ezam, sebuah kerajaan transformasi harus lebih tangkas menangani masalah di samping membela kedudukan rakyat bawahan. Kerajaan transformasi yang bercirikan negara maju, tambahnya, mesti lebih cekap dan canggih mengatasi masalah, bukan menaikkan tarif dan meminta rakyat menanggung beban.

Langkah itu, kata Ezam, mengundang kemarahan rakyat kerana ia selari dengan pelbagai peningkatan harga bahan keperluan asas lain. Tambahnya, kerajaan Umno-BN wajar menumpukan usaha membanteras ketirisan, rasuah dan rundingan perjanjian berat sebelah yang terlalu menguntungkan golongan korporat.

Menurut Ezam lagi, sebagai anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah SPRM, beliau mahu pembasmian gejala itu menjadi tumpuan utama.

Walaupun sukar berbanding keputusan menaikkan tarif elektrik, itulah tanggungjawab kerajaan Umno-BN yang menggelar dirinya kerajaan transformasi.

Dengan kenaikan kos sara hidup yang bertindan, maka 2014 akan menjadi “Tahun Demonstrasi”, mengatasi kempen “Tahun Melawat Malaysia” dan “Tahun Malaysia Bersalawat”.

Kedatangannya tidak disambut dengan azam baharu, tetapi beban baharu!

Sementelah, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (Mat Sabu) mengumumkan satu perhimpunan besar-besaran akan diadakan pada 1 Mei 2014 bagi menyatakan bantahan terhadap kenaikan kos sara hidup rakyat.

Namun, katanya, “perhimpunan kecil-kecilan” akan tetap diadakan bagi membina momentum menjelang perhimpunan tersebut dengan beliau akan bergerak ke seluruh negara bersama NGO untuk menyeru rakyat turun pada 1 Mei nanti yang kebetulan Hari Pekerja.

Tegas Mat Sabu, yang menderita sekarang adalah pekerja awam. Justeru, tambahnya, rakyat wajar membantah kerana negara kita miskin bukan disebabkan tiada hasil, tetapi akibat rasuah dan penyelewengan. Tambah beliau, perkara tersebut perlu ditekankan kepada rakyat.

Perhimpunan bantahan telah dimulakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, 20 Disember lalu atas nama “Tolak GST”. Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menyempurnakan pelancarannya.

Sementara itu, pemimpin Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Azan Safar menegaskan sisasatan polis ke atasnya tidak menghalang dia meneruskan kempen “2014 Tahun Sengsara Rakyat” menerusi perhimpunan besar di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada malam menyambut 2014.

Azan, yang dibebaskan polis selepas ditahan selama 20 jam turut mempersoal tindakan berkenaan, serta tuduhan “serkap jarang” ke atasnya kerana didakwa terlibat dalam usaha menggulingkan kerajaan Umno- BN.

Katanya, adakah dengan memperjuang hak dan suara rakyat agar bebanan kos sara hidup mereka diturunkan dia digelar penjenayah berat dandiserbu sebagai penjenayah? Tegas Azan, dia menyeru masyarakat turun dan menyatakan sokongan mereka supaya kerajaan Umno-BN tidak memandang remeh beban kos sara hidup rakyat menjelang 2014.

Yang kelakar, polis mendakwa perhimpunan pada malam tahun baharu itu bertujuan menggulingkan kerajaan Umno- BN. Walau bagaimanapun, Azan menegaskan bahawa Turun tidak terlibat langsung dengan satu lagi perhimpunan yang dipromosi sebagai “Himpunan Guling Kerajaan” juga pada malam tersebut. Turun, katanya, sentiasa menghormati sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

No comments: