Saturday, January 4, 2014

Pensyarah lapor polis risau demo depan gereja

MALAYSIAKINI

 
 
 
Risau dengan keselamatan pengunjung gereja, seorang pensyarah membuat laporan polis terhadap rancangan Umno Kapar serta beberapa NGO untuk memprotes kenyataan Paderi Lawrence Andrew di hadapan Gereja Lady Lourdes, Klang esok.

Perzeus James, 31, membuat laporan itu di balai polis Taman Sri Muda, Seksyen 15 Shah Alam semalam.

Menurut laporannya, Perzeus perhimpunan demikian melanggar Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang melarang perhimpunan di tempat ibadat.

Selain itu, katanya, kenyataan timbalan perdana menteri yang tidak akan menghalang protes itu cukup membimbangkan.

"Saya membuat laporan ini kerana bimbang akan keselamatan penganut Kristian yang pergi ke gereja berkenaan dan gereja-gereja seluruh Selangor untuk bersembahyang pada hari tersebut.

"Tindakan menceroboh kawasan gereja juga bertentangan dengan hak beragama yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Sebagai warga prihatin saya juga meminta anggota polis hadir menjaga keselamatan penganut Kristian di semua gereja seluruh Selangor," katanya.

Umno Kapar sebelum ini dilapor akan memprotes kenyataan Paderi Lawrence Andrew yang bertegas mahu menggunakan kalimah Allah dalam sesi sembahyang Ahad mereka yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ulasannya berkata tindakan Umno Kapar itu berdasarkan perundangan negeri Selangor serta selari dengan  "titah yang dikeluarkan oleh Sultan Selangor."
  
Selain Umno Kapar, NGO lain yang akan turun protes esok adalah Solidariti Muslim Daerah Klang, Jalur Tiga Malaysia (JATI), PERKASA Selangor, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Pertubuhan Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKKDDAS).

No comments: