Sunday, January 5, 2014

Pemilik akaun Facebook minta maaf

Asmaelz Hadzeny II berkata semua kenyataan dalam laman sosialnya sebelum ini adalah gurauan semata-mata.




KUCHING: Pemilik akaun laman Facebook Asmaelz Hadzeny II memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan PDRM kerana kenyataannya yang menghasut orang ramai menyertai perhimpunan haram untuk menggulingkan kerajaan.

Asmaelz, 25, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) selepas  siasatan polis dari Bukit Aman kelihatan tenang ketika ditemui memberitahu, semua kenyataan dalam laman sosialnya sebelum ini adalah gurauan semata-mata.

Menurutnya, beliau tidak menyangka komennya yang mengajak orang ramai menyertai perhimpunan haram sempena tahun baru serta mengugut serangan bom memberikan kesan yang begitu serius kepada diri dan rakyat keseluruhannya.

“Saya ingin memohon maaf kepada polis dan rakyat Malaysia berikutan kenyataan nakal yang disiarkan dalam facebook sebelum ini.

“Semua komen ini hanya dilakukan sekadar main-main dan suka-suka, tiada niat untuk menghina sesiapa termasuk polis.

“Saya menginsafi perbuatan ini dan berjanji tidak akan mengulangi lagi. Perbuatan ini bukan hasutan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Diiringi polis

Asmaelz yang diiringi beberapa anggota polis kelihatan tidak terurus dan cuba untuk melarikan diri ketika keluar dari balai ketibaan LTAK apabila menyedari kehadiran media.

Dalam pada itu, lelaki yang berasal dari Saratok itu dipercayai berperanan sebagai cyber trooper Parti Keadialan Rakyat (PKR) dan bekerja sebagai koordinator di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.

Bagaimanapun, Asmaelz bertegas bahawa kenyatan facebooknya yang menghasut membuat rusuhan dan meminta orang ramai membekalkan bom bukan dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk dari parti pembangkang.

“Perkara ini tiada kaitan dengan parti pembangkang. Saya lakukan secara suka-suka ketika itu,” tambahnya.

No comments: