Thursday, January 23, 2014

Kontraktor dakwa cedera dipukul polis dalam tahanan

MALAYSIAKINI




Apabila seorang kontraktor dari Kedah datang atas kehendaknya sendiri ke Balai Polis Kubang Pasu untuk membantu siasatan satu kes rogol Disember tahun lepas, dia sedikit pun tidak menjangka akan melalui satu tragedi buruk yang akan menghantuinya seumur hidup.

Zul Hilmi Abdul Rahman, 32, ditahan reman pada hari berikutnya, 12 Disember, dan ditempatkan di dalam lokap, di mana dia mendakwa dipukul dengan kejam oleh tiga anggota polis - dua lelaki dan seorang wanita - selama dua jam dan membiarkannya dalam kesakitan, tanpa rawatan perubatan.

Zul Hilmi hadir di balai polis tersebut pada 11 Disember, selepas diberitahu bahawa polis mahu menemuinya bagi membantu siasatan satu kes rogol tetapi dia sebaliknya ditahan dan disenaraikan suspek.

Dia kemudian mendapat tahu bahawa wanita yang tidak dikenali, telah membuat laporan polis yang mendakwa bahawa sebuah kereta dengan nombor plat keretanya terlibat dalam jenayah itu.

Zul Hilmi berkata dia mahu keadilan kerana mendakwa telah dipukul oleh polis yang didakwanya mahu memaksanya mengaku melakukan jenayah yang tidak dilakukannya.

Dia mendakwa dipukul di bawah kaki dengan batang paip PVC yang tebal dan sebanyak dua kali - 18 dan 16 kali - selama dua jam, pada hari pertama dia ditahan di lokap.

Menurutnya, tangannya diikat dan mereka menumbuk dan menendangnya, menyebabkan kecederaan kepada kaki, bahu kiri, skrotum (bahagian sulit) dan usus besar.

"Saya tidak dapat bernafas," katanya Zul Hilmi yang terbaring di katil dalam kesakitan, dengan isterinya, Nur  Othman di sebelahnya semasa ditemui di rumahnya di Alor Setar malam tadi.

Zul Hilmi berkata akibat kejadian itu pada 12 Disember tahun lepas, dia dan tidak lagi dapat bekerja untuk menyara keluarganya, termasuk ibu bapanya.

Sebelum ini dia memperoleh pendapatan antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan sebagai kontraktor tetapi kini perlu bergantung sepenuhnya pada isterinya, yang bekerja dalam perkhidmatan awam.

Berkahwin dua tahun lalu, pasangan itu belum dikurniakan anak dan diberitahu oleh doktor mereka mungkin menghadapi kesukaran mempunyai anak.

Nur Adzleen, 29, telah membuat dua laporan polis mengenai kejadian itu - pada 12 dan 27 Disember - di Balai Polis Jitra, tetapi menurutnya, belum ada tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa untuk menyiasatnya.

Pada 12 Disember, apabila dibenarkan untuk melihat suaminya, dia terkejut mendapati Zul Hilmi sangat lemah, sesak nafas, dengan kakinyabengkak dan lebam di bahunya.

Zul Hilmi hanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Bahiyah pada 23 Disember, selepas dia dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau menjalani dua pembedahan kerana jangkitan pada buah zakar dan duburnya. Usus besarnya juga turut cedera dan dia memakai beg kolostomi.


Ahli Parlimen PKR Alor Setar, Gooi Hsiao Leung (kanan dalam foto),
yang juga seorang peguam, berkata Zul Hilmi merancang untuk menyaman pihak polis kerana kecederaan yang dialaminya dan kehilangan pendapatan, kerana dia mungkin tidak berupaya seumur hidup.

Ketika ditemui di rumah mangsa, Gooi mendakwa ia merupakan kes paling buruk pernah dilihatnya dan menurutnya, sehingga hari ini, pihak polis tidak datang untuk mengambil kenyataan Zul Hilmi atau isterinya.

Beliau menggesa polis melancarkan siasatan bebas terhadap kes itu serta-merta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Penolong Pesuruhjaya Mohd Nashir Ya dilaporkan berkata Zul Hilmi pada mulanya ditahan reman bagi membantu siasatan satu kes rogol dan peras ugut kes yang melibatkan seorang pelajar berusia 16 tahun .

Mohd Nashir berkata Zul Hilmi telah dihantar ke Hospital Jitra sebanyak tiga kali - pada 12, 18 dan 22 Disember - untuk pemeriksaan dan akhirnya dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan dan pembedahan, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 23 Disember.

Mohd Nashir dipetik dalam laporan Sinar Harian pada 31 Disember bahawa kertas siasatan telah dibuka berhubung dakwaan keganasan polis semasa dalam tahanan, dan ia dalam siasatan.

No comments: